EKSKLUSIF: KOS UMRAH NAIK?

Last Updated on

Foto Arkib TV AlHijrah.

Oleh Syed Azwan Syed Ali syed.azwan@tvalhijrah.com

KUALA LUMPUR: Di sebalik pemansuhan peraturan bayaran visa Saudi Riyal (SAR) 2,000 bagi umrah berulang yang diumumkan Kerajaan Arab Saudi kelmarin, bakal jemaah perlu bersedia dengan kenaikan kos umrah secara keseluruhan.

Ini kerana sejurus pemansuhan bayaran visa SR2000 bagi jemaah berulang itu, Kerajaan Saudi telah mewajibkan bayaran visa SR300 (RM333) bagi semua jemaah iaitu tambahan kepada SR200 bayaran visa umrah, cukai VAT dan kos logistik sedia ada.

Timbalan Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harun KC Ahmmu berkata, ini bermakna kos keseluruhan visa umrah baharu yang perlu dibayar jemaah adalah SAR500 (RM556).

“Kos umrah akan berlaku kenaikan sebab kos visa bertambah,” katanya ketika dihubungi Hijrah Online sejurus tiba dari Jeddah, Arab Saudi hari ini.

Media melaporkan Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan perintah diraja yang menstruktur semula visa lawatan, haji dan umrah ke negara itu, termasuk pembatalan yuran mengerjakan umrah berulang.

Timbalan Presiden BUMITRA, Harun KC Ahmmu

Ketika ini kos berkaitan visa umrah ditetapkan pada kadar SAR200 meliputi caj visa (SAR88.75), kos perkhidmatan logistik (SAR100) dan cukai VAT lima peratus (SAR9.4375).

Harun berkata dengan peraturan baru itu bermakna jumlah bayaran visa umrah beserta kos logistik dan VAT adalah SAR500.

“Implikasinya, harga pakej umrah akan mengalami kenaikan sebanyak SAR 300. Ia bersesuaian dengan arahan Kerajaaan Arab Saudi mulai musim umrah 1441 Hijrah yang mewajibkan tempahan umrah menggunakan sistem Maqam (Hajj and Umrah Global Distribution System) akan mengakibatkan kenaikan kos kepada pakej umrah keseluruhannya,” kata Timbalan Presiden BUMITRA itu.

Susulan itu, Harun berkata, semua bakal jemaah umrah hendaklah bersedia menerima peningkatan kos pakej umrah yang berada di  luar kawalan pihak agensi pengendalian umrah.

Media sebelum ini melaporkan pembatalan bayaran visa umrah bagi jemaah berulang sejak 2016 itu sejajar dengan Visi 2030 Arab Saudi yang menyasarkan 30 juta jemaah umrah pada tahun berkenaan. – AlHijrah Online

Leave a Reply