Kecuaian faktor siasatan kematian Mejar Zahir

Last Updated on

Mejar Mohd Zahir Armaya maut tertembak ketika membuat aksi gimik sempena penubuhan 5 Divisyen di Lok Kawi, Sabah, pada Rabu lalu.

KUALA LUMPUR – Siasatan terhadap insiden kematian Mejar Mohd Zahir Armaya akibat terkena tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi Rabu lepas menjurus kepada faktor kecuaian.

Menurut laporan Bernama hari ini, Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah berkata kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan beberapa individu akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, siasatan mendapati ia menjurus kepada kecuaian tetapi siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Memetik laporan Bernama lagi, Omar berkata setakat ini 11 individu termasuk anggota tentera yang terbabit dengan insiden tembakan itu sudah dipanggil bagi memberi keterangan.

Khamis lepas, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata Polis Diraja Malaysia sedang menjalankan siasatan penuh berhubung insiden itu termasuk mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Zahir, 36, pegawai komando dari Pasukan 11 Rejimen Gerak Khas, meninggal dunia pada Rabu selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia.

Leave a Reply