Perkasa ekonomi umat Islam, sokong produk buatan muslim – Harussani

Last Updated on

Tan Sri Dr. Harussani Zakaria

KUALA LUMPUR – Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria menyeru umat Islam memperkasa ekonomi sendiri dengan mengeluar dan membekalkan produk buatan muslim.

Beliau berkata, kempen ‘Buy Muslim First’ (BMF) yang kini digerakkan dalam masyarakat adalah implementasi daripada konsep ta’awun atau bertolong-menolong, suatu perkara asas dalam agama Islam termasuklah jual beli.

“Umum mengetahui bahawa kekuatan sesuatu bangsa adalah dipengaruhi oleh kekuatan ekonominya. Sebagai umat Islam kekuatan akidahlah yang akan mempengaruhi kekuatan ekonomi kita.

“Seorang Islam yang kuat akidahnya akan memperkuatkan ekonominya dengan memastikan rantaian produk mestilah bersumberkan yang halal dan thoyyib.

Thoyyib merujuk kepada perkara-perkara kebaikan yang ada pada produk tersebut meliputi sumber-sumber bahan mentah dan kaedah-kaedah penyediaan produk itu termasuklah pekerja yang bersih serta mempunyai hati yang ikhlas dan jujur,” kata Harussani dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, adalah menjadi keutamaan kepada umat Islam untuk mendaulatkan segala perintah al-Quran dan hadis dalam segenap aspek kehidupan termasuklah aktiviti jual beli dan dikira sebagai mujahadah serta ibadah di sisi Allah.

“Pada masa sama Islam tidak menafikan hak dan pembabitan orang bukan Islam dalam berjual-beli dengan syarat mematuhi hukum dan etika pengeluaran sesuatu produk. Malah asas kepada urusan jual beli yang dititikberatkan dalam Islam adalah unsur saling meredhai (taradhin).

Kempen Utamakan Produk Muslim adalah suatu altenatif bagi mengangkat dan mempromosikan barangan dan produk keluaran muslim, dan bukannya kempen boikot produk lain sebagaimana digembar-gemburkan pihak tertentu.

Ia dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan ABATA Commerce Sdn Bhd, bagi tujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam dan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.

Leave a Reply