KTMB perkenal koc kelas perniagaan ETS2 bulan depan

Last Updated on

Kos kelas perniagaan yang bakal diperkenalkan bulan depan itu menyediakan tempat duduk luas dan selesa berbanding koc biasa, serta perkhidmatan pramugara dan pramugari.

KUALA LUMPUR – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan perkhidmatan koc kelas perniagaan (business class) bagi perkhidmatan tren elektrik terbaharunya ETS2 bulan depan.

Menurut laporan Bernama hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata koc kelas perniagaan eksklusif yang dilengkapi kemudahan kondusif itu merupakan satu daripada enam gerabak ETS2 yang direka khas bagi pilihan penumpang yang mahukan kelainan tersendiri.

“Ini termasuk tempat duduk luas dan selesa berbanding koc biasa, serta perkhidmatan pramugara dan pramugari khusus bagi koc kelas perniagaan. Penumpang dalam gerabak itu turut akan ditawarkan kemudahan khas seperti kit perjalanan, Audio Video-On-Demand (AVoD) serta port USB,” katanya dalam kenyataan hari ini yang dipetik Bernama.

Katanya, perkhidmatan tren elektrik (ETS) amat popular dalam kalangan penumpang KTMB dan sepanjang tahun lepas, sejumlah 3.91 juta orang telah menggunakan perkhidmatan kereta api itu.

“Sehingga Julai tahun ini sahaja, sebanyak 2.15 juta orang telah menaiki ETS, purata 10,400 penumpang sehari. Penambahan set-set tren ETS2 itu sejajar dengan hasrat kerajaan meningkatkan penggunaan perkhidmatan awam berasaskan rel.

“Dua perkhidmatan tren terbaharu itu menjadikan keseluruhan 38 perkhidmatan ETS beroperasi setiap hari. Ia sebahagian daripada sembilan set tren ETS2 yang bakal diterima peneraju perkhidmatan rel nasional itu secara berperingkat sehingga suku pertama tahun depan,” katanya lagi.

Tiket tren bagi perjalanan bermula dari 11 Oktober itu akan dijual mulai 8.30 pagi, 12 September ini. Harga tiket promosi juga diumumkan sempena pengenalan koc baharu itu, iaitu RM50 untuk dewasa bagi perjalanan sehala antara KL Sentral dan Ipoh, Perak, manakala RM112 bagi perjalanan KL Sentral-Padang Besar, Perlis. Promosi itu sah bagi perjalanan di antara 11 Oktober sehingga 30 November 2019 sahaja, lapor Bernama.

Warga emas, pesara kerajaan dan isteri, orang kelainan upaya (OKU), kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun pula layak menerima diskaun konsesi, manakala kanak-kanak berumur satu hingga tiga tahun (tanpa tempat duduk) tidak dikenakan sebarang bayaran.

Leave a Reply