JEREBU: UJIAN BUAT MALAYSIA DAN INDONESIA

Last Updated on

Menara berkembar Petronas dilitupi jerebu. Foto Reuters.

SYED AZWAN SYED ALI

KUALA LUMPUR: Jerebu seperti mana yang kita tahu adalah fenomena bermusim yang menguji kita saban tahun. Ia seperti air laut yang bergilir pasang surut mengikut waktu dan turun naik bulan di langit.

Kita semua tahu puncanya adalah pembakaran besar-besaran hutan dan ladang di negara seberang. Ia rahsia terbuka yang dilaporkan media setiap tahun dan tidak seharusnya menjadi polemik bagi mana-mana politikus di dalam atau luar negara.

Jerebu rentas sempadan juga tidaklah keterlaluan jika kita samakan dengan hubungan dua negara serumpun, Malaysia dan Indonesia yang sentiasa diuji dari semasa ke semasa sejak konfrontasi 54 tahun lalu.

Hakikatnya, yang menerima akibat kesan jerebu adalah Malaysia dan kita tidak sekali-kali melatah, marah atau menyalahkan negara jiran, sebaliknya cuba menghulurkan bantuan atas dasar persahabatan serumpun yang amat kita hargai.

“Tidak ada surat protes, tapi (surat) keinginan Malaysia untuk menangani jerebu,” demikian kata Duta Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar dipetik agensi berita BERNAMA semalam.

Itu adalah reaksi diplomat kita saat beliau diminta memberikan penjelasan oleh Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Dr Siti Nurbaya Bakar kononnya Malaysia menghantar nota bantahan melalui Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin yang menuduh Indonesia punca kepada fenomena jerebu yang kian meruncing di Malaysia.

Hari ini Yeo Bee Yin pula dilaporkan memberikan reaksi balas yang Siti Nurbaya tidak harus berada dalam penafian kerana data dari Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) jelas menunjukkan Indonesia punca kepada fenomena jerebu yang melanda wilayah ini.

Data terkini ASMC menunjukkan terdapat 474 titik panas di Kalimantan dan 387 titik panas direkodkan di Sumatera, berbanding hanya tujuh titik panas dikesan Malaysia.

Kelmarin, Siti Nurbaya yang barangkali diasak jurnalis tempatan, menyatakan laporan Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia menunjukkan asap atau jerebu akibat kebakaran di Kalimantan dikesan bergerak ke Malaysia (Sarawak) hanya dalam tempoh sejam.

Mana mungkin jerebu yang menyebabkan lebih 400 sekolah ditutup di Sarawak dan merebak ke semenanjung sehingga menyebabkan beberapa negeri terkesan, hanya disebabkan asap atau jerebu selama sejam pada Ahad lepas itu.

Jerebu ini sebenarnya bukan hanya menguji rakyat kedua-dua negara, tetapi ia sebenarnya menguji kematangan hubungan pahit manis antara Malaysia dan Indonesia sejak sekian lama.

Hubungan pasang surut ini jelas tergambar dengan insiden membabitkan rakyat di kedua-dua negara dan paling terbaru tentunya aksi penyokong bolasepak Indonesia yang membaling suar dan botol kepada penyokong Harimau Malaya di Stadium Utama Gelora Bung Karno di Jakarta minggu lalu.

Pada aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta itu, skuad Harimau Malaya telah mengalahkan pasukan Indonesia 3-2 sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong Sang Merah Putih.

Masihkah kita ingat bagaimana skuad Harimau Malaysia yang terpaksa menaiki kereta perisai Barracuda untuk ke stadium semasa Aksi Final Piala AFF 2010, betapa gentingnya keadaan di ketika itu.

Malaysia dan Indonesia sebenarnya mempunyai hubungan yang unik dan penuh warna di atas kertas sehinggalah ke sempadan darat dan maritim.

Nelayan-nelayan kita di laut, misalnya berkongsi empat wilayah maritim yang meliputi Laut China Selatan, Selat Melaka, Laut Sulawesi dan Laut Sulu. Di laut itulah, mereka berkongsi mencari rezeki untuk keluarga.

Seringkali saja nelayan-nelayan terbabit tersasar hala kerana masalah kompas, dipukul ribut, tersalah masuk sempadan negara sehingga mereka ditahan pihak berkuasa tempatan yang kemudiannya membawa kepada bantahan dan polemik hubungan dua hala.

Itu belum lagi dikira sejarah dingin tuntutan Malaysia dan Indonesia ke atas Pulau Ligitan dan Sipadan di perairan Sabah yang akhirnya diputuskan menjadi milik Malaysia oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Perebutan Blok Ambalat di Laut Sulawesi juga masih menjadi ujian kepada hubungan dua hala negara berjiran dalam ASEAN selain isu berbangkit lain seperti isu layanan kepada pembantu rumah, Tenaga Kerja Indonesia (TKI) dan isu warisan seni dan budaya serumpun.

Namun sehingga hari ini kesemua ujian terbabit ditangani dengan matang oleh pemimpin kedua-dua negara walaupun seringkali saja bendera “Jalur Gemilang” dihina jika timbul bantahan di pihak saudara kita.

Penulis masih ingat bagaimana suatu ketika dulu Kedutaan Malaysia di Jakarta pernah dibaling dengan najis ekoran isu penahanan anggota penguatkuasa Indonesia berdekatan Pulau Batam. Saat itu amat melukakan walaupun hakikatnya penunjuk perasaan adalah mereka yang dibayar untuk memprotes.

Apa yang pasti sekalipun hubungan kita sentiasa diuji, rakyat kedua-dua negara seharusnya melihat ujian itu sebagai resam biasa dalam hubungan adik beradik. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula dua negara.

Bak kata Saidina Ali, angin bertiup bukan untuk melihat pokok itu menari-nari, sebaliknya menguji kekuatan akarnya. Barangkali akar itu adalah hubungan dua negara bersaudara ini. Dirgahayu Malaysia dan Indonesia. – AlHijrah Online

Penulis adalah Editor Berita dan Penerbit TV AlHijrah (Portal AlHijrah Online)

PENAFIAN:
Hijrah Online tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Leave a Reply