Malaysia tawar bantuan tangani kebakaran hutan Indonesia

Last Updated on

Zainal Abidin Bakar. FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR – Malaysia menawarkan bantuan menangani kebakaran hutan di beberapa wilayah Indonesia berikutan masalah jerebu yang melanda ketika ini, dan tidak pernah menuding jari kepada negara jiran itu dalam hal ini.

Menurut laporan Bernama hari ini, Duta Besar Malaysia di Indonesia, Zainal Abidin Bakar berkata surat rasmi kerajaan Malaysia menerusi Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berhubung tawaran itu telah disampaikan kepada pemerintah Indonesia, baru- baru ini.

“Tidak ada surat protes, tapi (surat) keinginan Malaysia untuk menangani jerebu (membantu memadam kebakaran hutan dan kawasan pertanian di Indonesia),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Malaysia 2019, malam tadi, sebagaimana dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Lingkungan Hidup dan Kehutanan Indonesia, Siti Nurbaya Bakar seperti dilaporkan media tempatan yang kononnya Malaysia telah menghantar surat bantahan, menuduh Indonesia menjadi punca berlakunya jerebu di Malaysia.

Siti Nurbaya juga dilaporkan akan menulis surat kepada Zainal Abidin bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Namun Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan Siti Nurbaya, di mana beliau menyatakan tidak pernah menerima sebarang surat bantahan dari Malaysia berhubung perkara itu.

Lebih 42,000 hektar kawasan hutan dan ladang direkodkan telah terbakar sejak Januari lepas, dengan beratus hektar dilaporkan masih terbakar melibatkan beberapa provinsi atau wilayah di Indonesia.

Leave a Reply