Pengusaha ikan sangkar kerugian RM350 ribu

Last Updated on

Ikan dari jenis baung, patin dan tilapia yang sudah matang dan hanya menunggu masa untuk dijual, bergelimpangan mati dipercayai kerana kekurangan oksigen.

KUALA TERENGGANU – Tujuh pengusaha ikan sangkar di Kampung Pulau Musang dan Kampung Beladau Kolam, Kuala Terengganu mengalami kerugian hampir RM350 ribu apabila ikan ternakan mereka mati.

Punca kejadian dipercayai kerana keadaan sungai yang tiada arus, mengakibatkan air surut panjang dan menyebabkan kekurangan oksigen di dalam air.

Menurut salah seorang pemilik ikan sangkar di Pulau Musang, Mohd Sobri Muda, beliau sedih kerana ikan dari jenis baung, patin dan tilapia sudah matang dan hanya menunggu masa untuk dijual. Akibatnya dia terpaksa menanggung kerugian lebih RM100 ribu.

Mohd Sobri

“Paginya sewaktu saya melawat sangkar ikan, ikan semua sudah timbul. Kebanyakan sangkar memang ada ikan yang mati.

“Kita tidak tahu sebab apa ikan-ikan ini mati. Mungkin tengah dalam siasatan lagilah,” katanya.

Tambahnya, kejadian serupa pernah berlaku tahun lalu apabila ikan bergelimpangan timbul dan mati sehingga beliau mengalami kerugian RM50 ribu.

Sementara itu, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali ketika dihubungi berkata, pihaknya telah menghantar sampel air sungai ke Jabatan Kimia bagi mengetahui punca sebenar.

Beliau juga menasihati pengusaha ikan mengurangkan kepadatan ikan di dalam sangkar serta membersihkan sangkar lebih kerap bagi mengelak berlaku kekurangan oksigen dalam air yang menjurus kepada kematian ikan.

Leave a Reply