AS akan dedah identiti perancang serangan 9/11

Last Updated on

Menara kedua World Trade Center meletup terbakar selepas dihentam pesawat yang dirampas di New York 11 September 2001. FOTO REUTERS

KUALA LUMPUR – Akhbar Wall Street Journal pada Khamis lalu melaporkan bahawa Jabatan Kehakiman AS telah bersetuju untuk mendedahkan nama individu yang didakwa merancang serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat, lapor Bernama hari ini.

Pendedahan identiti terbabit dijangka bakal mengundang keretakan diplomatik dengan sekutu utamanya dari Timur Tengah.

Merujuk “ciri luar biasa dalam kes itu,” FBI berkata ia akan mendedahkan identiti pegawai Arab Saudi itu namun menolak desakan untuk mengeluarkan maklumat tambahan dan hanya memenuhi permintaan yang berkaitan dengan satu kes undang-undang, lapor Bernama yang memetik akhbar tersebut.

Menurut Bernama lagi, peguam sanak saudara mangsa serangan 11 September sebelum ini meminta kerajaan mendedahkan nama individu terbabit, yang muncul dalam satu dokumen daripada siasatan FBI pada 2012 berhubung tragedi itu.

Sejumlah 15 daripada 19 penyerang adalah rakyat Arab Saudi manakala pemimpin al-Qaeda Osama bin Laden juga berasal daripada keluarga Arab Saudi yang terkenal.

Kerajaan Arab Saudi telah berulang kali menafikan sebarang kaitan dengan serangan itu.

Serangan itu telah meragut hampir 3,000 nyawa apabila sebuah pesawat merempuh Pusat Dagangan Dunia di Bandaraya New York, Pentagon di Virginia dan sebuah padang di Pennsylvania, 18 tahun lalu.

Leave a Reply