Isu status halal White Rabbit bukan baharu

Last Updated on

Gula-gula White Rabbit. FOTO SINAR HARIAN

IPOH – Pengguna di sekitar Ipoh sejak tahun lalu sudah meragui status halal gula-gula susu White Rabbit yang diimport dari China itu.

Menurut tinjauan kru Berita AlHijrah, pengguna mula meragui status gula-gula itu selepas tular artikel mengenainya di media sosial, malah ada yang tidak terkejut jika Jakim mengharamkan gula-gula berwarna putih yang bertekstur lembut dan kenyal itu.

Menurut pengguna, pengesahan tidak halal yang dilakukan Jakim tepat pada masanya agar pengguna Islam tidak terus membeli produk tersebut.

“Sebenarnya, saya sudah tahu isu ia tidak halal sudah lama, (kes) isu halal ini sentiasa berulang, kadangkala dulu ia sudah pernah keluar, orang sudah sebarkan kata tak halal, tapi bila dah lama orang dah lupa, mereka makan balik, padahal dari dahulu dah tahu tidak halal,” kata Husna Izati Hasarudin.

Pada masa yang sama golongan muda diingatkan tidak mengambil ringan perkara berkaitan makanan dan minuman halal.

Seorang lagi pengguna, Zuraidah Abdul Kadir yang ditemui berkata, masyarakat kurang peka dan memandang remeh hal berkaitan makanan.

“Bagi saya masyarakat kita kurang peka, mereka kata benda-benda itu (perkara halal dan haram) remeh temeh, dia tidak periksa betul-betul, dan makan tanpa fikir status halal dan haram. Walaupun tiada (sijil) halal, mereka tetap makan dan menganggap ianya halal kerana ia hanya gula-gula, mereka tak fikir lebih dalam,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di kedai mendapati gula-gula nostalgia yang digemari ramai semasa zaman kanak-kanak itu tidak dipamerkan atau dijual, namun ia masih boleh dibeli secara dalam talian.

Leave a Reply