JAINJ tahan 54 pengikut Syiah

Last Updated on

Rumah tiga tingkat di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru ini dijadikan markas ajaran Syiah.

JOHOR BAHRU – Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) hari ini menahan 54 individu yang didakwa pengikut ajaran Syiah dalam serbuan Ops Hauzah, di sini.

Mereka cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menjadikan rumah inap tiga tingkat di Taman Bukit Kempas sebagai markas ajaran sesat tersebut sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi memberitahu, antara yang ditahan itu ialah 10 warga Singapura, seorang warga Indonesia dan seorang warga Yaman, manakala baki 44 orang lagi merupakan penduduk tempatan.

Tosrin Jarvanthi

Tiga daripada individu terlibat pula pernah ditahan beberapa bulan dahulu atas kesalahan sama.

Beberapa barang turut disita ketika serbuan dilakukan, antaranya kain rentang yang menjadi elemen bukti wujudnya aktiviti Syiah, nota dan kitab berkaitan fahaman tersebut.

“Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam tetap berpegang terhadap larangan ajaran Syiah seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor pada Oktober 2014,” katanya.

Tosrin juga memberitahu, 46 daripada yang ditahan menerima surat saman dan lapan lagi dikehendaki hadir ke JAINJ untuk disiasat.

JAINJ akan terus memantau kegiatan penganut ajaran berkenaan untuk memastikan ianya tidak terus menular di negeri tersebut.

Kesalahan disiasat mengikut Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 2017, dan jika sabit kesalahan akan dikenakan denda RM3 ribu atau penjara maksimum dua tahun atau kedua duanya.

Leave a Reply