GAZA DIAMBANG PERANG?

Last Updated on

SYED AZWAN SYED ALI

Nampaknya Benjamin Netanyahu sudah goyang. Perdana Menteri Israel itu kini tiada jalan lain untuk mengekalkan kuasanya selain dengan menyerang wilayah Gaza.

Ini skrip lama yang sentiasa digunakan Netanyahu yang berkuasa sejak 2009 untuk meraih sokongan pengundi Yahudi berhaluan kanan.

Buat pertama kalinya dalam sejarah negara haram Israel itu, kerajaan gagal dibentuk selepas pakatan parti diketuai Parti Likud pimpinan Netanyahu terpaksa mengadakan pilihan raya semula bagi mengisi 120 kerusi Knesset (Parlimen Israel) pada Selasa depan.

Politik Israel kini melalui fasa baharu apabila pakatan pembangkang mula mendapat momentum, terutama sokongan kelompok minoriti yang selama ini diketepikan Netanyahu.

“Tarikh pilihan raya tidak menjadi faktor dalam keputusan untuk berperang,” kata Netanyahu dipetik PRESS TV menegaskan beliau boleh memulakan operasi ketenteraan di Gaza sebelum pilihan raya 17 September ini.

Hakikatnya, Gaza diserang hampir saban hari. Rabu lalu pun Anadolu Agency melaporkan yang rejim Israel melancarkan serangan udara ke atas 15 lokasi di wilayah yang dikepung itu selepas Hamas dilaporkan melancarkan roket ke Israel.

Serangan udara rejim zionis Israel di wilayah Gaza pada Mac lalu. Foto REUTERS

Sehari sebelum itu, dua remaja Palestin, termasuk seorang berusia 14 tahun dibunuh tentera Israel ketika menyertai protes “The Great March of Return” yang juga usaha drastik warga Palestin membuka mata dunia akan penindasan dan kesengsaraan di Gaza.

Ancaman perang ke atas Gaza ini tidak lebih dari sekadar modal politik Netanyahu untuk mengekalkan kuasa.

Begitu juga kenyataannya awal minggu ini bahawa Israel akan meluaskan penguasaan wilayahnya melalui tindakan annex ke atas Lembah Jordan dan utara Laut Mati berdekatan Tebing Barat, jika pakatan pimpinannya menang.

Kenyataan Netanyahu untuk melancarkan operasi ketenteraan ke atas Gaza itu menunjukkan pemimpin rejim itu dalam keadaan tersepit, malah pemerhati politik menyifatkannya sebagai skrip lama bagi meraih sokongan pengundi.

“Netanyahu dan sekutunya berada di belakang pakatan pembangkang, termasuk Parti Lieberman yang mendapat sokongan Yahudi Russia.

“Ini taktik mengalih perhatian dan jalan terdesak mendapatkan sokongan pengundi berhaluan kanan,” kata pemerhati konflik Palestin-Israel yang juga Pengerusi Viva Palestina Malaysia, Datuk Dr Musa Nordin kepada AlHijrah Online hari ini.

Avigdor Lieberman mengetuai Parti Yisrael Beitenu iaitu parti politik sekular berhaluan kanan yang memenangi lima kerusi pada pilihan raya Israel April lalu, namun tidak mahu menyertai pakatan Netanyahu membentuk kerajaan.

Lieberman adalah bekas sekutu Netanyahu yang sebelum ini memegang jawatan Menteri Luar Israel. Partinya amat popular dalam kalangan pendatang Yahudi dari negara bekas Kesatuan Soviet yang turut menggunakan bahasa Russia.

Konflik Palestin-Israel menyaksikan tiga peperangan direkodkan sepanjang tempoh 12 tahun lalu apabila Gaza dikuasai Hamas yang memenangi pilihan raya Palestin pada Jun 2007.

Warga Palestin mengibarkan bendera Palestin di pintu sempadan Erez di antara Gaza dan Israel. Foto REUTERS

Sejak dari itu, dua juta populasi Gaza dikepung dari darat, udara dan laut dan rejim zionis, termasuk di bawah pimpinan Netanyahu melancarkan tiga operasi ketenteraan pada 2008/2009, 2012 dan 2014, masing-masing ada kaitan dengan pilihan raya di Israel.

“Ia bukan perang, ia adalah tindakan genosid terhadap populasi awam. Ia (tindakan Israel menyerang Gaza) adalah jenayah kemanusiaan,” tegas Dr Musa merujuk kepada ancaman Perdana Menteri Israel menyerang Gaza itu.

Pengumuman Netanyahu untuk meluaskan penguasaan wilayah Israel ke Lembah Jordan dan utara Laut Mati juga bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

“Langkah Israel itu jelas melanggar undang-undang antarabangsa, Konvensyen Geneva dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Majlis Keselamatan PBB,” demikian kenyataan Kementerian Luar Malaysia mengutuk keras hasrat rejim zionis meluaskan wilayahnya itu.

Malaysia berpandangan tindakan itu hanya akan menjejaskan penyelesaian dua negara dalam konflik Palestin-Israel. Hal sama turut diakui Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol dan United Kingdom.

Mahmoud Abbas ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ke-72 di New York pada 20 September 2017. Foto REUTERS

Di Tebing Barat, Presiden Palestin Mahmoud Abbas memberi amaran yang semua perjanjian di antara Palestin dan Israel sejak 1967 akan terbatal sekiranya rejim zionis meneruskan peluasan wilayahnya hingga ke Lembah Jordan dan utara Laut Mati.

Presiden Palestin itu merujuk kepada peperangan enam hari 1967 antara Israel dan tiga negara Arab iaitu Mesir, Syria dan Jordan, di mana rejim zionis itu menguasai wilayah Tebing Barat, Gaza, Golan Height dan Semenanjung Sinai.

Sehingga kini terdapat lebih 650,000 pendatang Yahudi menduduki 100 penempatan haram di tanah Palestin, termasuk 200,000 menetap di Baitulmaqdis Timur yang mana Israel secara unilateral mengisytiharkan kedaulatannya tanpa perakuan masyarakat antarabangsa.

Israel terus membina penempatan haram di tanah Palestin. Foto REUTERS

Hakikatnya, pilihan raya semula tidak pernah berlaku dalam sejarah Israel di mana seseorang Perdana Menteri itu gagal membentuk kerajaan.

Ia adalah tamparan yang memalukan buat Netanyahu selain jalan terakhir menyelamatkan kedudukan sebagai Perdana Menteri atau ia beralih tangan kepada Benny Grantz dari pakatan pembangkang.

Apa yang pasti hanya peperangan boleh menangguhkan pilihan raya. Hanya dengan menyerang Gaza juga Netanyahu mampu mengekalkan kuasa di Israel. Netanyahu tidak peduli tapi pedulikah kita? – AlHijrah Online

Penulis adalah Editor Berita dan Penerbit TV Al Hijrah (AlHijrah Online)

Leave a Reply