CATATAN HAJI 1440H: ANTARA BAHULU DAN JUBAH ANAKKU

Last Updated on

Fatimah ketika ditemubual wartawan Malaysia di Makkah. Foto Tabung Haji.

NADZIRAH SHARINGAT

Ketika menjejakkan kaki ke Makkah, Fatimah Eral, 62, hanya membawa wang tunai RM300 dan kuih bahulu sebagai bekal untuk menjalani ibadah di Tanah Suci.

Tidak langsung terlintas di kepalanya untuk membawa pulang berkotak-kotak buah tangan untuk keluarga atau saudara mara, tetapi di hatinya tersemat satu hajat. Warga emas itu mahu menunaikan hasrat anak bongsunya yang amat dirindui.

Anak bongsunya, Mohd Nor, 13, yang sebelum itu amat gembira ketika mengetahui ibunya akan menunaikan haji benar-benar menginginkan jubah baru dari Tanah Suci untuk dibuat persalinan mengaji.

Ketika menemubual Fatimah, saya dapat melihat betapa warga emas yang berasal dari Semporna, Sabah itu cukup beremosi saat bercerita tentang anak bongsunya yang hanya berusia tiga tahun ketika ditinggalkan bapanya yang hilang entah ke mana.

“Aku tidak tahu dia hilang begitu sahaja, kami tidak bercerai,” kata Fatimah saat ditanyakan di mana suaminya sekarang.

Kumpulan wartawan Malaysia yang menemubual Fatimah bertanya sejak bila lagi suaminya menghilangkan diri.

“10 tahun lepas,” jawab Fatimah dalam genangan air mata. Allahu, saat itu jujurnya jauh di dalam hati saya merasa amat sedih bila mendengar ujian hidup yang menimpa ibu tua ini.

Hilang tempat bergantung tanpa diberi sebarang isyarat atau sepatah kata, apatah lagi harta, yang ditinggalkan hanyalah anak bongsu yang ketika itu baru berusia tiga tahun yang mungkin belum mengenali wajah bapanya.

Tiap kali bercerita tentang anak bongsunya, Fatimah akan menangis. Dia teringat akan nasib anaknya yang ketiadaan kasih bapa dalam usia muda selain kepayahan hidup yang mereka terpaksa harungi selama ini.

Mohd Nor, 13, menyimpan hasrat memiliki jubah dari Tanah Suci buat persalinan mengaji.

Berkongsi kisah hidupnya dengan wartawan Malaysia di Makkah, Fatimah berkata anaknya itu sering makan nasi berlauk kicap, malah pernah bersarapan air suam sahaja yang dikongsi dengannya.

Ibu kepada tiga anak itu itu juga menegaskan yang beliau tidak berniat langsung untuk berbelanja, namun sedaya upaya mahu memenuhi permintaan anak bongsunya yang mahukan jubah baharu itu. RM300 yang dibawanya disimpan erat.

Saya bertanya kepada Fatimah tentang makan minumnya di Makkah. Jawabnya, “di sinilah makanan aku yang paling sedap. Tapi aku merasa amat sedih, anakku di kampung makan apa?”

“Kalau pagi makcik makan apa?” tanya saya lagi kepada ibu tua itu memandangkan hanya hidangan tengah hari dan malam yang disediakan di sini.

Fatimah menjawab, “aku ada bawa bekal bahulu. Makanan sama tidak apa, asalkan kenyang”.

Mengenali Fatimah dengan lebih dekat, ternyata dia bukanlah insan yang suka meminta-minta walaupun dihimpit kemiskinan.

Ditanya tentang persiapan ke Tanah Suci, tanpa segan silu warga emas itu menjawab, “banyak pakaianku orang yang bagi”.

Dipegang tudung hijaunya sambil berkata, “Aku bawa pun tidak banyak, guna apa adanya. Aku dapat ke sini (Tanah Suci) pun aku sudah bersyukur”. Terlihat air jernih bergenang di kelopak matanya.

Menyedari kisah Fatimah yang menyedihkan itu, ramai yang tampil menghulurkan bantuan kewangan. Tapi hati saya makin tersentuh apabila dia berkata, “wang bantuan ini akan aku simpan untuk belanja anak- anakku di Sabah nanti”. Allahu..

Jika diikutkan simpanan Tabung Haji (TH), Fatimah mengakui yang dia tidak mungkin menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Dia antara 30,200 jemaah Malaysia yang mengerjakan haji tahun ini.

Hakikatnya, baki akaun TH Fatimah bukannya bertambah, malah susut setiap tahun. Mana tidaknya, dengan hanya berniaga kuih dan nasi kuning dengan purata pendapatan RM40 sehari yang digunakan untuk menanggung kehidupanan tiga anak dan lima cucunya, mana mungkin dia mampu menyimpan untuk haji.

Fatimah antara jemaah yang dibiayai Tabung Warga Tua TH selepas beliau dua kali menolak tawaran haji kerana kedaifan dan kesempitan hidup.

Terima kasih Tabung Haji kerana merealisasikan impian Fatimah untuk melaksanakan rukun Islam kelima.

Dua minggu meninggalkan Makkah, terdetik di hati saya barangkali anak bongsu Fatimah kini menjadi anak yang paling bahagia dengan jubah baharu yang dibawa pulang ibunya dari Makkah. – AlHijrah Online

Penulis adalah wartawan TV AlHijrah yang membuat liputan haji musim 1440H.

Leave a Reply