PEMBENIHAN AWAN AKAN DILAKUKAN DI NEGERI TERJEJAS

Last Updated on

Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dilitupi jerebu yang melanda negara sejak awal bulan ini.

KUALA LUMPUR: Operasi pembenihan awan akan dilakukan di negeri-negeri selain Sarawak dan Selangor jika keadaan jerebu bertambah buruk.

Bagaimanapun, operasi pembenihan awan yang bertujuan mengurangkan kesan jerebu itu bergantung kepada keadaan cuaca setempat.

Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Isnaraissah Munirah Majilis berkata, operasi itu akan dilakukan mengikut atmosfera serta kadar kelembapan dalam udara yang sesuai.

“Sekiranya arah angin tidak berapa membantu untuk buat pembenihan awan, kita tidak akan laksanakan (operasi) sebab nanti ia tidak efektif,” katanya dipetik BERNAMA dalam satu majlis di Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar Perak hari ini.

Di Sungai Buloh, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dilaporkan berkata pihaknya sedang memantau keadaan cuaca semasa sebelum melakukan proses pembenihan awan di negeri itu.

Ia ekoran hujan lebat yang turun di beberapa kawasan di Selangor sejak malam tadi yang dijangka mengurangkan kesan jerebu.

“Kita akan tengok dari masa ke masa dan saya akan dapatkan maklum balas daripada Jabatan Alam Sekitar (sebelum melakukan pembenihan awan),” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Rumah Selangorku Hibiscus 3 kepada 270 pemilik di Sungai Buloh.

Media melaporkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dijangka melakukan operasi pembenihan awan di Selangor esok atau Isnin ini susulan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat di Johan Setia, Klang.

Johan Setia mencatatkan IPU 191 pada 9 pagi tadi diikuti Banting (170), Petaling Jaya (161), Shah Alam (155), Klang (152) dan Kuala Selangor (131).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

40,000 PELAJAR TERJEJAS, 220 SEKOLAH DAN IPT DITUTUP DI MUAR DAN TANGKAK

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan memberitahu Berita TV AlHijrah yang kira-kira 220 sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah Muar dan Tangkak diarah tutup esok ekoran keadaan jerebu semakin teruk.

Penutupan sekolah itu merangkumi 129 sekolah di Muar dan 82 sekolah di daerah Tangkak membabitkan 40,000 pelajar secara keseluruhannya. – BERNAMA/AlHijrah Online

Leave a Reply