KE SYURGA, KE NERAKA TIDAK SAMA SEKALI

Last Updated on

DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA

Kita dituntut oleh ajaran agama untuk berlumba-berlumba ke arah kebaikan sama ada kebaikan untuk diri kita ataupun kebaikan untuk orang lain.

Persaingan dimanifestasi dengan perlumbaan dan Al-Quran menggunakan kata arahan ‘Fastabiqu’ dan ‘Sari’u’ . Kedua-duanya punya kaitan dengan gesaan pulun dan bersegera untuk dicapai.

Bagi kebaikan diri, disebut tentang bergesa-gesa cepat dan pantas memohon keampunan dari Allah.

(۞ وَسَارِعُوۤا۟ إِلَىٰ مَغۡفِرَةࣲ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَ ٰ⁠تُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِینَ)

Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa (Ali Imran 133)

Manakala untuk berbakti kepada orang lain disebut ‘berlumba lah kamu ke arah kebaikan’.

(وَلِكُلࣲّ وِجۡهَةٌ هُوَ مُوَلِّیهَاۖ فَٱسۡتَبِقُوا۟ ٱلۡخَیۡرَ ٰ⁠تِۚ أَیۡنَ مَا تَكُونُوا۟ یَأۡتِ بِكُمُ ٱللَّهُ جَمِیعًاۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣱ)

Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. (Al Baqarah 148)

Dalam hadis, Rasulallah s.a.w pula menggunakan perkataan, Baadiru bil a’ mal (..بادروا بالاعمال) Bersegeralah kamu (berlumba-lumba) dengan Amal soleh. Semua amalan soleh termasuk membuat kebaikan dibalas dengan kebaikan oleh Allah apabila cukup syarat yang ditetapkan.

Rahmatan Lil Alamin menjangkau kepentingan kepartian dan saya tidak berniat untuk mempolitikkan kebaikan ini, jauh sekali menuduh orang lain ke neraka. Tajuk berita The Malaysian Insight (TMI) yang telah ditegur oleh Setiausaha Akhbar (SUA) saya kerana tidak membawa maksud sebenar dari soalan yang diajukan dan telah pun diperakui kesilapan dengan pembetulan tajuk sebenarnya iaitu “Tak perlu berlumba dengan PAS-UMNO”

Perkataan ‘neraka’ merujuk kepada perlumbaan (semua pihak) yang tidak bermakna dan tidak produktif atas sebab politik kepartian. Saya mengatakan lebih baik semua kita berlumba ke arah ‘syurga’ untuk kebaikan semua pihak. Malangnya tajuk TMI sebelum ditegur telah tular dan pihak tertentu memetik kesalahan editorial TMI itu untuk memutarkan hakikat sebenar kenyataan saya. Saya dituduh seolah melabel ‘penyatuan PAS dan UMNO ke ‘neraka’. Wal iyazu billah.

Amat berbeza dengan kehendak kenyataan saya bahawa semua kita akan ke ‘neraka’ dalam persaingan yang tidak produktif dengan kenyataan PAS dan UMNO ke neraka. Saya kesal dengan tajuk TMI yang mengelirukan dan membuka ruang menjadi polemik yang tidak seharusnya berlaku.

Saya mengajak kembali kepada semangat perlumbaan sebenar dalam merealisasikan hasrat pemerintah hari ini iaitu membawa cita-cita negara melalui Islam yang Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat-menghormati (RAHMAH). Kalau perlu kita berlumba, maka ayuhlah bersama kita bersaing mencapai hasrat RAHMAH. Jauh dari kebencian dan fitnah.

Kita semua mahu ke syurga, ke neraka tidak sama sekali!

Penulis adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Naib Presiden Parti Amanah Negara dan Ahli Parlimen Parit Buntar

Leave a Reply