PALU MASIH PERLUKAN KITA

Last Updated on

ARDI HERMAN MARDZI

Walaupun singkat, hanya tiga hari dua malam, misi yang disertai penulis dengan jurukamera Nazhi Kasim, bersama delegasi Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hakikatnya membuka mata bahawa sebahagian penduduk Palu di Sulawesi Tengah, Indonesia, masih menjalani kehidupan mendesak dan serba kekurangan.

Menjejakkan kaki di “ground zero”  yang dibadai tsunami dan likuifaksi membuktikan perkara itu. Mata sukar berkelip saat membayangkan ketakutan yang dihadapi penduduk setempat ketika tsunami melanda. 

Sebelum ke sana, penulis menjangkakan wilayah itu telah kembali pulih dan mangsa bencana itu sudah menjalani kehidupan seperti sedia kala.

Apatah lagi sebaik tiba di Lapangan Terbang Mutiara SIS Jufri, Palu, penulis melihat kesan kerosakan akibat gempa telah dibaiki dan sebahagiannya berwajah baharu dan moden. Persepsi penulis bagaimanapun meleset apabila menuju ke lokasi dibadai tsunami pada Maghrib, 28 September 2018.

Terletak kurang 10 kilometer dari lapangan terbang, penulis dan delegasi MAPIM bersama pegawai dan wakil agensi-agensi agama persekutuan melalui beberapa kawasan yang teruk dihempas ombak tsunami.

Teringat pula video-video viral yang memilukan, ketika penduduk setempat lari bertempiaran cuba menyelamatkan diri dengan laungan AllahuAkbar.

Antara persinggahan awal kami adalah sebuah masjid yang telah tujuh tahun dalam pembinaan, sebelum akhirnya roboh menyembah bumi pada hari kejadian. 

“Saya stres, namun rakan-rakan lain mengingatkan saya supaya bersabar kerana musibah ini Allah yang  turunkan”, jelas Makmur Salatung, Pengerusi Jawatan Kuasa Pembinaan Masjid Al-Muhajirin  ketika gempa bumi meruntuhkan struktur yang lebih peratus siap itu.

Kesan runtuhan masih kelihatan. Tidak dialihkan pun tiang-tiang, batu-batuan dan serpihan akibat gegaran kuat.

Hari sama, delegasi kami turut melawat sebuah lagi masjid yang rosak teruk, kali ini di Belaroa. Jelas sekali retakan, rekahan masih tidak dibaiki. Malah masjid itu tidak lagi boleh berfungsi memandangkan retakannya boleh mengundang bahaya kepada jemaah.

Di Belaroa jugalah terjadinya likuifaksi, fenomena pergerakan tanah lembap yang ‘menelan’ kediaman dan sekolah, tidak terkecuali ribuan penduduk setempat. Ratusan keluarga hanyut dek pergerakan tanah lembap, sekali gus ‘mengebumikan’ mereka.

“Sekolah saya musnah dan sebahagiannya dibawa arus akibat likuifaksi. Saya kehilangan 80 rakan sekolah dalam sekelip mata”, jelas Fadilah, remaja 11 tahun yang penulis temui ketika melawat kawasan berlakunya likuifaksi.

Wawancara itu dilakukan kira-kira 200 meter dari lokasi sekolahnya yang kini langsung tidak kelihatan. Jelas Fadilah, ketika gempa, dia sedang bersiap untuk ke kelas Karate. Namun gegaran kuat memaksa keluarganya berlari mencari perlindungan.

Jelas sekali, ratusan kediaman yang retak, roboh, hancur tidak lagi dihuni. Pemiliknya? Sama ada telah meninggalkan kawasan itu untuk mencari perlindungan atau mungkin telah syahid. Allahuakbar. Tidak terbayang kalau penulis di tempat kejadian ketika likuifkasi berlaku. Tengok video viral pun dah mengerikan. Kini, sebahagian kecil kejiranan di Belaroa bagaikan kawasan mati.

Walaupun kunjungan singkat, Palu membuka mata penulis tentang betapa terdesaknya kehidupan mereka, meski pun hampir setahun bencana itu berlalu. Hati ini memikirkannya ketika laluan konvoi misi kami sempat melalui lokasi penempatan ribuan khemah yang wujud bagaikan kem pelarian. Bayangkan, hidup dalam khemah di negara sendiri.

Riak wajah penghuni kem seolah-olah tiada apa yang berlaku. Namun jauh di sudut hati mereka, pasti terdetik untuk kembali menjalani fitrah kehidupan lebih baik sebagaimana sebelum bencana alam setahun yang lalu itu.

“Insha Allah, akan terus dibantu walaupun mungkin makan masa panjang. Palu masih perlukan kita,” kata Dr Sani Araby, Ketua Pegawai Ekskutif MAPIM yang mengetuai delegasi ke Palu, baru-baru ini. – AlHijrah Online

Penulis adalah Editor Berita TV AlHijrah.

Leave a Reply