KARNIVAL RAHMAH 2019 SAMPAIKAN MESEJ KASIH SAYANG DAN HARMONI

Last Updated on

ZULAIKHA ZULKIFLI

Menyemarakkan kasih sayang dan hidup dalam suasana harmoni antara rakyat berbilang agama dan kaum di negara ini antara mesej utama penganjuran Karnival Rahmah 2019 bermula esok hingga 29 September ini.

Program yang julung-julung kali diadakan itu dimulakan dengan Forum Perdana Hal Ehwal Islam jam 9 malam diikuti acara penuh karnival bermula Jumaat ini.

Meskipun dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, acara karnival di Dataran Putrajaya itu menyasarkan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, mesej kasih sayang dan hidup dalam keharmonian itu penting kerana Islam sentiasa menganjurkan umatnya untuk berkasih sayang bukan sahaja terhadap saudara seagama tetapi kepada seluruh insan.

“Kita mensasarkan pengunjung yang ramai daripada berbilang kaum dan agama. Karnival ini menyediakan pelbagai program mempunyai mesejnya tersendiri yang mensasarkan mesej kasih sayang, persaudaraan dan mesej-mesej seperti hidup dalam suasana yang harmoni dan sebagainya.

“Setiap gerai pameran mempunyai enam nilai utama RAHMAH iaitu R untuk Ramah, Aman, Harmoni, Mesra, Alami dan Hormat. Setiap gerai ada nilai tersendiri yang akan diterjemah dan ia sarat dengan mesej. Ini keistimewaan karnival ini.

“Dalam suasana hari ini yang penuh dengan pelbagai isu perkauman yang menjurus kepada kebencian dan sebagainya, diharapkan karnival ini boleh membawa mesej kedamaian, aman, keharmonian yang sangat diperlukan pada hari ini,” kata Mujahid yang bertanggungjawab dalam hal ehwal agama di negara ini.

Karnival Rahmah 2019 berkonsepkan edutainment denganpelbagai program menarik yang mempunyai mesej tersendiri antaranya Karnival Kanak-kanak yang bermula Jumaat ini, program pencarian bilal (Jumaat), Maidatul Quran- acara yang menyajikan pelbagai bacaan ayat suci al-Quran, Halal Fun Run (Sabtu) bermula 6.30 pagi, pesta buah-buahan (Sabtu), Jamuan Rahmah (Sabtu) yang menyajikan makanan kepada pengunjung secara percuma bermula jam 5 petang, Konsert Rahmah mula jam 9 malam dan Eco Alami Ride (Ahad) yang bermula jam 7 pagi dan pertunjukan paragliding (Sabtu dan Ahad) bermula 4.30 petang.

Mereka yang hadir juga berpeluang untuk memenangi pelbagai hadiah menarik sepanjang karnival itu antaranya pakej umrah dan motosikal Yamaha 15ZR dengan mengumpulkan cop di gerai-gerai ditetapkan.

Reruai (booth) agensi-agensi hal ehwal Islam juga turut disediakan dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai. Sebarang maklumat lanjut boleh dibuat dengan melayari Facebook Karnival Rahmah 2019 atau Instagram KarnivalRahmah2019. – AlHijrah Online

Penulis adalah Setiausaha Akhbar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Leave a Reply