Diaspora Melayu: Dicampak ke laut jadi pulau

Last Updated on

Peta Rumpun Bangsa Melayu

MOBILITI masyarakat Melayu ke luar Alam Melayu sudah berlaku sejak zaman lampau dan sehingga kini masih mengekalkan jati diri mereka walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran di negara-negara yang didiami.

Ketua Pengarah Jabatan Muzium Negara, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim berkata, warisan budaya, adat resam, pertuturan dan sebagainya masih lestari dalam kehidupan seharian masyarakat tersebut walaupun berada jauh beribu batu dari tanah air dan melalui perubahan zaman dan generasi.

Kamarul berkata demikian dalam Ucapan Perasmian Bicara@Muzium bertajuk Diaspora Melayu Cocos dan Suriname di Auditorium Jabatan Muzium Negara di sini, hari ini.

Program yang mengupas survival Melayu di Kepulauan Cocos, Australia dan di Suriname, Amerika Selatan itu bertujuan menguar-uarkan tentang ketamadunan Melayu yang luas ruang litupnya serta memperlihatkan kekayaan budaya warisan yang masih menjadi legasi bangsa Melayu di seluruh dunia, selain menambah dan mewujudkan jaringan kerjasama dengan pelbagai pihak terutamanya dengan para akademik dan pakar-pakar dalam bidang ketamadunan Melayu.

Wan Hashim. FOTO ALHIJRAH ONLINE

Profesor Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh, pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata, masyarakat Melayu di Afrika Selatan merupakan komuniti yang hebat di mana mereka membawa Islam bersama mereka serta mengembangkan agama itu di sana.

Beliau yang membentangkan kertas kerja berkenaan diaspora Melayu di Cocos sekaligus menolak pendapat yang mengatakan Islam di Afrika Selatan dibawa masuk oleh pendakwah dari Timur Tengah.

Selain itu, penduduk Melayu di situ banyak menyumbang kepada pembangunan setempat dan menguasai beberapa industri di negara kediaman mereka.

“Hub halal di Australia Barat merupakan sumbangan terbesar muslim Cocos di mana 60-70 peratus dari mereka bekerja di kilang. Tidak sukar mendapat makanan halal di kawasan mereka.

“Selain itu, hubungan antara agama di situ (Australia Barat) sangat tinggi di mana orang Kristian sangat hormat kepada muslim Cocos atas sumbangan serta sikap mereka,” jelas Wan Hashim.

Malim Ghozali PK. FOTO DBP

Pembentang kedua, Mohamed Ghozali Abdul Rashid yang dikenali sebagai Malim Ghozali PK pula berkata, orang Melayu membina tamadun bukan hanya di Nusantara Melayu tetapi di seluruh pelosok dunia.

Malim yang membentangkan kertas kerja tentang Diaspora Melayu di bumi Suriname berkata, kehadiran bangsa Melayu di Amerika Latin membawa bersama agama, budaya dan bahasa mereka, sekaligus memberi kesan langsung terhadap sosiopolitik di sana.

“Bangsa Melayu telah banyak menempa sejarah, bukan sahaja di wilayahnya yakni Nusantara Melayu (Malay Archipelago), tetapi juga di Amerika Latin.

Di Republik Suriname terdapat orang Melayu berketurunan Jawa yang dibawa ke situ oleh Belanda dari tanah Jawa, tanah Andalas, dan dari Nusantara Melayu di sekitar tahun 1870-an, sebagai ‘buruh berhutang’ (indentured labourers). Orang-orang ini tetap merindukan tanah tumpah darah mereka,” kata Malim.

Malim yang pernah melakukan kajian terhadap diaspora Melayu di Suriname dan menghasilkan dokumentari Memo Paramaribo pada Ogos 2008 berkata, salah seorang penduduk di sana menitipkan sepucuk surat kepadanya, menyatakan hasrat hati mereka untuk berkunjung ke tanah ibunda mereka suatu hari nanti.

Perjuangan mereka yang bertungkus-lumus mengekalkan identiti agama, bangsa dan bahasa mereka malangnya kurang mendapat perhatian negara sendiri. Hanya persatuan dan wakil individu sahaja yang berminat membongkar kisah diaspora mereka dan perkembangan terkini mereka.

Justeru itu, sudah tiba masanya kerajaan melakukan inisiatif menjejak mereka, tidak kira secara hubungan rasmi antara negara atau melalui cara mempertimbangkan dana dan sokongan kepada mereka yang berminat dengan ketamadunan Melayu, supaya semangat survival pelopor ‘’global tribe’’ Melayu ini mencetuskan semangat anak bangsa di bumi sendiri.

ROKIAH ISMAIL adalah Eksekutif Kanan AlHijrah Online.

Leave a Reply