UNGA TIADA SEBARANG MAKNA UNTUK PELARIAN SYRIA

Last Updated on

Tiada satupun negara Arab yang membangkitkan isu konflik Syria di UNGA. Foto Syria Care.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-74 yang berakhir minggu lalu tidak membawa sebarang makna kepada penderitaan dan kesengsaraan ditanggung mangsa konflik di Syria.

Ketegangan diplomatik antara Arab Saudi dengan Iran, kepungan dan sekatan tentera India ke atas penduduk Kashmir, kezaliman kerajaan Myanmar terhadap etnik Rohingya di Rakhine, perluasan penempatan haram penduduk Yahudi oleh rejim zionis di Tebing Barat dan perarakan aktivis alam sekitar bagi mendesak dunia menangani perubahan Iklim global telah menenggelamkan penderitaaan pelarian di Syria. Malang sungguh nasib mereka.

Sepanjang perhimpunan bermula dari 24 September hingga 30 September lalu, tiada satupun negara Liga Arab, Pertubuhan Kerjasama Negara Teluk (GCC) membangkitkan mengenai konflik Syria yang meragut hampir 600,000 nyawa.

Ia berbeza dengan isu Rohingya apabila negara anggota ASEAN iaitu Malaysia melalui Perdana Menterinya, Tun Dr Mahathir Mohamad, telah membangkitkan isu berkenaan dengan penuh ketegasan sehingga beliau melabel Myanmar sebagai kerajaan zalim.

Lebih lantang, Dr Mahathir mengkritik tindakan badan dunia itu yang kini memasuki usia 75 tahun sebagai gagal menyelesaikan krisis etnik yang menyebabkan jutaan mangsa menjadi pelarian.

Dalam nada lebih tegas Dr Mahathir menyelar peranan PBB yang disifatkan tidak berupaya untuk menghentikan penindasan dan genosid yang berlaku.

Ketegasan sama disuarakan terhadap dasar pendudukan regim zionis di kawasan tanah Arab yang dikuasainya. Seperti ucapan-ucapan sebelumnya, Perdana Menteri yang berusia 94 tahun itu, tidak berganjak dari pendiriannya mengutuk keras perbuatan Israel.

Namun bagi mangsa konflik di Syria, tiada satupun saudara sebangsa dengan mereka yang tampil ke pentas untuk membawa serta membahaskan isu itu kecuali Turki, negara jiran yang kini memberikan perlindungan kepada lebih 3.7 juta pelarian Syria.

Namun ucapan Presiden Recep Tayyip Erdogan lebih kepada penyelesaian “longgokan” rakyat Syria di negaranya serta peluasan zon keselamatan di dalam wilayah Turki bagi mengekang ancaman keselamatan di sempadan.

Ia sama sekali tidak menyentuh mengenai nasib serangan senjata kimia, pembunuhan beramai-ramai dan gencatan senjata di wilayah konflik itu.

Manakala Rusia, yang juga sekutu Syria, menggunakan pentas perhimpunan agung kali ini untuk terus berdrama bagi mencari penyelesaian politik.

Menteri Luarnya, Sergey Lavrov berpendirian PBB perlu memainkan peranan penting sambil menuduh dunia barat sebagai berat sebelah dalam isu kemanusiaan selain menghentam wartawan dan media berkaitan.

Kenyataan itu adalah wayang Moscow kerana pada 19 September lalu, ia menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang ketetapan PBB untuk melaksanakan gencatan senjata di Idlib, Syria.

Di perhimpunan yang sama, Menteri Luar Syria, Walid Muallem mendesak semua tentera asing keluar dari wilayah utara negaranya bagi membolehkan pihak kerajaan melakukan tindakan sewajarnya.

“Askar Amerika Syarikat dan Turki berada secara haram sebagai tentera asing di utara Syria. Mana-mana askar asing di wilayah kami tanpa kebenaran adalah penaklukan tentera dan perlu keluar dengan segera,” katanya dipetik agensi berita Al Jazeera.

Kenyataan beliau langsung tidak menyentuh kehadiran tentera Rusia yang selama ini bersekongkol melakukan serangan ke atas orang awam. Begitu juga dengan pasukan elit tentera Iran.

Apa yang menjadi persoalan, sekiranya kesemua kawasan berkenaan diserahkan kepada tentera rejim Bashar al Assad, apa yang akan berlaku kepada orang awam yang berada di wilayah itu? Apa jaminan hak mereka dilindungi dari menjadi mangsa kezaliman seterusnya.

Perkara itu langsung tidak disentuh. Sama seperti perhimpunan agung sebelum ini,  dunia tahu konflik di Syria adalah perang proksi di antara kuasa besar, namun kesengsaraan yang ditanggung rakyatnya terus dilupakan.

Itu cerita mangsa konflik di Syria. Belum lagi situasi di Yaman dan penindasan terhadap umat Islam di tempat lain seperti penafian hak ke atas etnik muslim Uighur di China. Maka OIC akan kekal sekadar “Oh I See” yang hidup segan mati tidak mahu. – Razali Awang (Media Syria Care)

Leave a Reply