DUNIA KUCAR KACIR TANPA KUASA VETO?

Last Updated on

Analisis berita oleh Syed Azwan Syed Ali

Sebelum kita mengupas tentang veto yang memberi kuasa mutlak kepada negara “P5” menentukan nasib dan masa depan dunia, adalah lebih baik kita memahami makna perkataan itu.

Veto adalah terma popular dalam kalangan komuniti dunia, khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia juga mungkin popular dalam kalangan pengurusan sesebuah organisasi.

Minggu lalu, perkataan itu ditularkan Tun Dr Mahathir Mohamad apabila Perdana Menteri Malaysia itu dengan lantang mencadangkan supaya ia diubah suai bagi mengelakkan salah guna kuasa oleh P5 di Persidangan Agung PBB (UNGA) Ke-74.

P5 merujuk kepada lima negara kuasa besar yang menang dalam perang dunia kedua lebih 73 tahun lalu dan menduduki kerusi tetap Majlis Keselamatan PBB (UNSC).

Veto berasal dari perkata latin bermaksud “I Forbid” (saya larang). Veto memberi hak kepada individu atau kumpulan tertentu menentang sebarang keputusan dibuat majoriti ahli-ahli yang lain.

Misalnya, Presiden Amerika Syarikat (AS) mempunyai kuasa veto terhadap sebarang keputusan Kongres.

Berbeza dengan kuasa veto diberikan kepada negara P5 iaitu AS, United Kingdom (UK), Perancis, Rusia dan China yang menganggotai UNSC, kuasa veto yang ada pada Presiden AS tidak mutlak.

Meskipun Presiden AS menggunakan veto terhadap keputusan kongres, keputusan vetonya itu masih boleh dimansuhkan (baca: diimbangkan) dengan persetujuan dua pertiga sokongan dari kedua-dua Dewan Kongres AS.

Jika diamati di sini kuasa veto sebenarnya sejajar dengan amalan demokrasi dalam konteks pelaksanaan semak dan imbang dalam pentadbiran AS, bagaimanapun hal sama tidak berlaku dalam kuasa veto lima negara kuasa besar di PBB.

Malah dalam banyak perkara ia merumitkan, malah merendahkan demokrasi sebagai sistem kerajaan yang efektif untuk hampir 200 negara di dunia.

Tun Mahathir dalam ucapannya di UNGA Ke-74 minggu lalu menyifatkan kuasa veto sebagai punca kepada perlumbaan senjata dengan setiap negara P5 menggunakan kekuatan tentera masing-masing bagi mencabar sebarang percubaan melucutkan kuasa veto mereka.

Ia sebenarnya bertentangan dengan semua prinsip hak asasi manusia yang negara kuasa besar itu mendakwa memperjuangkannya.

“Negara yang memiliki kuasa veto tidak sepatutnya menganggap diri mereka sentiasa terkecuali daripada undang-undang dan norma antarabangsa,” kata Dr Mahathir yang turut membangkitkan mengenai isu Palestin, Kashmir dan Rohingya yang disifatkan “duri dalam daging” bagi negara-negara ASEAN oleh pemerhati politik antarabangsa.

Memahami kuasa veto sukar dimansuhkan kerana kekangan komuniti dunia yang bergantung kepada pengaruh dan pasaran kuasa besar, Tun Mahathir mencadangkan supaya kuasa veto diubah suai atas kepentingan masyarakat dunia.

Cadangannya adalah penggunaan kuasa veto hanya sah jika dua negara yang mempunyai kuasa veto bersama tiga anggota yang tidak memiliki kuasa veto bersetuju menggunakannya demi memastikan kekerapan salah guna kuasa veto berkurangan.

Persoalannya di sini apakah yang dimaksudkan Tun Mahathir dengan salah guna kuasa veto itu?

Contoh paling mudah dan dekat untuk kita memahami salah guna kuasa veto adalah dengan merujuk kepada Konflik Palestin-Israel dan perang saudara Syria yang mengorbankan lebih 600,000 nyawa sejak Mac 2011.

Konflik Syria tidak akan selesai selagi Rusia dengan kuasa vetonya terus melindungi Presiden Bashar Al-Assad dari sebarang tindakan undang-undang dunia.

Jika diamati konflik di negara Asia Barat itu, Syria kini menjadi medan perang proksi antara kuasa besar yang memiliki veto berikutan laba perang dengan penjualan senjata, ketidakstabilan serantau dan manipulasi ekonomi, yang dibayar cash dengan ratusan ribuan nyawa tidak berdosa.

Begitu juga konflik Palestin-Israel yang bermula sejak pendudukan haram rejim zionis di tanah Palestin sejak 1948.

Warga Palestin bukan hanya gagal dibela PBB (masyarakat dunia) tetapi kelemahan sistem itulah (baca: veto) yang menginjak, merosakkan dan meranap sisa-sisa harapan warga Palestin yang asalnya merdeka di tanah Jazirah Arab itu.

Kenapa penulis berkata demikian? AS pertama kali menggunakan kuasa vetonya untuk melindungi Israel pada 1972 apabila PBB mengeluarkan resolusi mengecam keganasan Israel di Timur Tengah (Asia Barat) dan perbatasan Lubnan.

Tiga tahun kemudiannya, resolusi PBB supaya rejim zionis menghentikan serangan ke atas Lubnan juga dibantah AS dengan kuasa vetonya.

Paling diingati apabila ketika AS menggunakan kuasa vetonya untuk menghalang komuniti dunia mengecam keras keganasan Israel ke atas pembunuhan dan penyembelihan umat Islam di Kem Shabra dan Shatila di Lubnan.

Begitu juga hujung Disember 2017 apabila AS menggunakan kuasa veto menghalang resolusi PBB yang menolak keputusan Presidennya, Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kota Israel.

Semua negara menolak keputusan Trump kerana menyedari implikasi buruk kepada penyelesaian dua negara dalam Konflik Israel-Palestin berdasarkan sempadan 1967 yang dipersetujui masyarakat dunia.

AS sekurang-kurangnya menggunakan kuasa vetonya sebanyak 43 kali untuk membela sekutu rapatnya, Israel, yang seolah-olah kebal daripada sebarang tindakan dan undang-undang komuniti dunia.

Harus kita ingat yang UNSC (baca: negara P5 diberi kuasa veto) untuk memastikan dunia kekal aman dan selamat selepas kegagalan Liga Antarabangsa untuk bertindak pantas menamatkan peperangan pada 1946.

Hakikatnya UNSC bukan hanya gagal mencapai objektifnya sebaliknya menyalahgunakan kuasa veto untuk kepentingan sendiri dan sekutunya.

Pun begitu untuk memahami dunia, kita harus memahami politik PBB dan kuasa pasaran modal (ekonomi) serta bagaimana ia mempengaruhi sikap dan tindakan sesebuah negara, khususnya 195 negara anggota PBB (Vatican City dan Palestin status entiti pemerhati dalam PBB).

Kuasa veto adalah kepincangan dalam sistem PBB dan kepentingan ekonomi adalah ujian dan halangan utama masalah (baca: konflik) dunia, yang bukan hanya di Timur Tengah tetapi juga di Asia Selatan.

Krisis di Arakan misalnya bukti jelas mengapa Myanmar tidak dihalang daripada melakukan pembantaian kepada etnik Muslim Rohingya.

Jika difikirkan secara logik, bagaimana lebih 1.2 juta orang boleh melarikan diri ke negara jiran (Bangladesh) dari Arakan, Myanmar selepas pembantaian dan penindasan dari tentera Myanmar sejak lebih 70 tahun lalu.

Negara-negara terkesan hanya mengecam keras tindakan genosid itu, bagaimanapun tiada tindakan konkrit dilakukan ke atas Myanmar kerana kepentingan ekonomi dengan negara bekas pimpinan junta itu.

Ini rahsia terbuka dan hakikat yang kita harus akui. Kebenaran adalah hak dalam kehidupan dan ia sentiasa mencari jalan untuk berdiri.

Isu penindasan ke atas etnik Uighur di utara China juga antara contoh klasik kepincangan sistem dunia dan imbang balas ekonomi yang menyisihkan kelompok minoriti. Malangnya, pembelaan tidak akan berlaku jika kedua-dua kelemahan ini kekal membarah.

Pasca kudeta gagal di Turki pada Julai 2016, penulis antara wartawan antarabangsa dan wakil badan bukan kerajaan (NGO) yang dijemput khas menemui Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden di Ankara.

Presiden Turki itu menjelaskan bagaimana 300 warga Turki terkorban dengan lebih 2,100 cedera dalam mempertahankan institusi presiden dan demokrasi dengan darah di Istanbul.

Ketika itu, Erdogan turut menyentuh tentang kepincangan UNSC yang tidak mempunyai wakil negara Islam. Begitu juga kepincangan majlis badan dunia itu yang tidak mempunyai wakil dari Benua Afrika.

Sepuluh negara tidak tetap yang menganggotai UNSC dan dipilih setiap dua tahun di UNGA sebenarnya hanyalah formaliti dan tidak mempunyai sebarang kuasa dalam UNSC, kata Erdogan.

Dengan kata lain, 10 negara tidak tetap hanyalah tunggul di dalam UNSC ketika lima negara kuasa besar mempunyai kuasa mutlak menggunakan kuasa veto mengikut kepentingannya dan sekutu, bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Pun begitu, situasi jelik ini akan berubah 360 darjah sekiranya cadangan pengubahsuaian kuasa veto disuarakan Malaysia pada UNGA minggu lalu, disokong dan dilaksanakan masyarakat dunia.

Yang pasti seperti kata Erdogan kepada kami di Istana Presiden di Ankara, kepincangan ini harus diperbetulkan demi kepentingan bersama kerana “dunia lebih besar dari lima negara”. — AlHijrah Online

Penulis adalah Editor Berita dan Penerbit TV AlHijrah (AlHijrah Online)

Leave a Reply