UTUSAN HENTI OPERASI HARI INI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Syarikat akhbar berbahasa Melayu tertua di negara ini, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad menamatkan operasinya berkuatkuasa hari ini ekoran masalah kewangan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir dalam memorandum pekeliling kepada petugas Utusan Malaysia dan Kosmo di sini hari ini berkata, syarikat terbabit telah melalui tempoh perniagaan yang paling kritikal sejak mula beroperasi 80 tahun lalu.

Katanya, keadaan syarikat akhbar itu semakin merosot selepas Mei 2018 dan ia telah melakukan pelbagai usaha, termasuk melaksanakan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) membabitkan 700 petugas dan menjual aset-aset, bagi mengatasi masalah dihadapi.

“Namun edaran harian akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo yang semakin menurun dan sasaran RM4 juta iklan sebulan yang gagal dicapai menyebabkan aliran tunai Utusan semakin tenat.

“Bukan sahaja gaji pekerja gagal dibayar mengikut masa, malah hutang juga tidak dapat dijelaskan dan semakin tertunggak. Syarikat kini berhadapan dengan pelbagai tindakan perundangan daripada pemiutang – pemiutang,” kata Abd Aziz.

Susulan itu, Lembaga Pengarah Urusan pada 7 Oktober lalu meluluskan pemberhentian operasi syarikat akhbar berbahasa Melayu yang diterbitkan sejak 1939 itu dengan penerbitan pertamanya adalah dalam bahasa Jawi. – AlHijrah Online

Leave a Reply