WANITA IRAN DIBENARKAN MASUK STADIUM SETELAH 40 TAHUN

Last Updated on

Wartawan sukan Iran, Raha Pourbakhsh di hadapan stadium Azadi di Tehran. – Foto Agensi

TEHRAN : Wanita Iran bebas masuk ke stadium bola sepak untuk kali pertama setelah 40 tahun selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengancam untuk menggantung republik Islam itu jika tidak berbuat demikian.

Iran diperintahkan oleh badan bola sepak dunia FIFA untuk memberikan kebenaran kepada kaum wanita untuk memasuki stadium tanpa sebarang halangan.

Tindakan itu berlaku selepas tragedi seorang wanita yang digelar ‘Blue Girl’ cuba memasuki stadium dengan berpakaian seperti lelaki.

Blue Girl tertangkap dan didakwa untuk dipenjara di atas perbuatannya itu lalu mengambil keputusan untuk membakar dirinya.

Mendengar berita itu, kalangan wanita negara itu cepat-cepat mendapatkan tiket untuk menghadiri kelayakan Piala Dunia 2022 Iran menentang Kemboja yang dijadualkan di Stadium Azadi Tehran esok.

Menurut laporan AFP, kumpulan pertama terjual dalam masa kurang daripada satu jam.

Salah seorang daripada 3,500 wanita yang mendapat tiket ialah Raha Poorbakhsh, seorang wartawan bola sepak.

Seorang pegawai kementerian sukan berkata, stadium berkapasiti 100,000 orang itu bersedia menerima lebih ramai penonton wanita.

“Saya masih tidak percaya ini akan berlaku kerana selepas bertahun-tahun bekerja di bidang ini, menonton segala-galanya di televisyen, kini saya dapat mengalami segala-galanya secara langsung,” katanya kepada agensi berita itu.

Bagaimanapun Poorbakhsh berkata, masih ramai wanita yang dijangka bergerak dari di wilayah selatan Iran untuk mendapatkan tiket tersebut.

Memetik laporan daripada agensi berita Fars, kaum wanita yang hadir akan dipisahkan daripada lelaki dan akan dikawal oleh 150 pegawai polis.

Kebanyakan wanita menyokong keputusan yang dilakukan itu kerana mereka mahukan kebebasan.

Menjelang Qatar 2022, Iran didesak FIFA supaya membenarkan penonton wanita menghadiri kelayakan piala dunia itu .

Larangan terhadap wanita di stadium tidak tertulis dalam undang-undang atau peraturan, tetapi ia telah dikuatkuasakan secara ketat. — Agensi

Leave a Reply