KERAJAAN CADANG GAJI MINIMUM DINAIKKAN KE RM1,200 DI BANDAR UTAMA

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Kerajaan mencadangkan supaya gaji minimum ditingkatkan pada kadar RM1,200 sebulan hanya di bandar-bandar utama berkuat kuasa tahun hadapan.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata ia bagi mengimbangi keperluan pekerja dan majikan dengan mengambil kira kenaikan kos sara hidup di bandar-bandar utama.

“Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk menambah baik kehidupan rakyat, terutamanya bagi golongan berpendapatan rendah. Pada bulan Januari 2019, Kerajaan telah meningkatkan gaji minimum kepada RM1,100 sebulan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini. 

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan akan meneliti semula Akta Kerja 1955 bagi memastikan akta itu kekal relevan dengan keperluan pasaran tenaga kerja semasa.

Kajian itu akan meliputi empat perkara iaitu pertama, meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 90 hari berkuat kuasa mulai tahun 2021.

Lim berkata, kajian semula itu turut melibatkan langkah memanjangkan kelayakan bayaran lebih masa bagi golongan yang berpendapatan kurang daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan.

“Ketiga, menambah baik pengendalian aduan gangguan seksual dari segi perlindungan dan prosedur; dan keempat, memantapkan peruntukan berkaitan larangan diskriminasi dalam pekerjaan contohnya agama, kaum atau jantina,” katanya. — BERNAMA

Leave a Reply