PENSIJILAN HALAL: JAKIM NAFI DAKWAAN PEGAWAI MINTA RASUAH

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini menafikan keras tuduhan bahawa pegawainya terbabit rasuah dengan meminta wang bayaran bagi tujuan pensijilan halal.

Dakwaan itu merujuk kepada artikel “Malaysia Halal Crisis” tulisan Murray Hunter yang disiarkan di laman sesawang Asia Sentinel bertarikh 10 Oktober 2019 yang mempersoalkan isu integriti dan kompetesi pegawai JAKIM dalam Pensijilan Halal Malaysia.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dalam kenyataan di sini menafikan keras tuduhan itu.

Katanya, JAKIM komited untuk memastikan Pensijilan Halal Malaysia berjalan berlandaskan undang-undang dan mematuhi peraturan serta tidak akan sama sekali berkompromi dalam isu integriti.

“JAKIM menafikan pertuduhan yang dibuat oleh Murray Hunter berkaitan pegawai JAKIM meminta bayaran sebanyak RM50,000 bagi tujuan pendaftaran premis pemprosesan daging halal di Kuala Lumpur.

“JAKIM mempunyai mekanisma kawalan dan mengamalkan sistem integriti yang tinggi dan telus bagi mengelakkan berlakunya amalan rasuah di kalangan pegawai dan kakitangannya.

“Mekanisma ini termasuklah kerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di samping penempatan pegawai SPRM secara sepenuh masa di bahagian yang berisiko tinggi berlakunya rasuah,” kata Mohamad Nordin dalam kenyataan yang dimuatnaik ke Facebook rasmi beliau.

Mohamad Nordin juga menyeru pihak terbabit, termasuk penulis tampil mengemukakan bukti dan pihaknya bersedia mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

“Isu ini amat serius kerana ianya boleh menyebabkan reputasi Halal Malaysia tercemar dengan fitnah dan tuduhan tidak berasas,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dilaporkan berkata terdapat cubaan pihak tertentu yang mahu memburukkan reputasi JAKIM dan Pensijilan Halal Malaysia. – AlHijrah Online

Leave a Reply