NAIB PRESIDEN MAPIM YANG JUGA AKTIVIS PALESTIN MENINGGAL DUNIA

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Abdul Aziz Abu Bakar, yang juga aktivis Palestin, meninggal dunia di Hospital Serdang petang semalam.

Allahyarham yang berusia 53 tahun dilaporkan menjalani rutin dialisis di sebuah pusat perubatan di Kajang sebelum tidak sedarkan diri secara tiba-tiba dan disahkan meninggal dunia di hospital kemudiannya.

Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Dr Ahmad Sani Araby Al Kahery memaklumkan berita menyedihkan itu dalam Instagram beliau semalam.

“Dukacitanya memaklumkan bahawa sahabat sejati kami, pejuang peduli Ummah dan Ketua Kemanusiaan Gaza  merangkap Naib Presiden MAPIM, Almarhum Tuan Haji Abdul Aziz telah kembali ke rahmatullah.

“Insan ini merupakan pejuang yang telah membina sembilan masjid di Gaza dan membantu membina puluhan lain di Syria.

“Sesungguhnya, kita kehilangan permata yang banyak menyantuni ummah,” kata Ahmad Sani.

Abdul Aziz  yang juga penerima Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat Negeri Selangor daripada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena sambutan Maal Hijrah tahun lalu, meninggalkan seorang balu dan empat anak.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Bandar Baru Bangi dan akan disolatkan di Masjid Al Hasanah Bandar Baru Bangi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Segambut selepas solat Asar esok. – AlHijrah Online/Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply