GERAN: DAKWAH DALAM FILEM AKSI

Last Updated on

Kredit Foto FB Filem Geran

Oleh Syed Azwan Syed Ali/ syed.azwan@tvalhijrah.com

Resam orang berjuang adalah untuk diuji dan perjuangan di ceruk mana sekalipun bermula dengan sebuah tekad.

Dari tekad ia menjadi bisikan, dari bisikan berubah menjadi seruan, dari seruan menjadi aksi dan tindakan sehinggalah ke akhir kalam perjuangan.

Filem Geran adalah yang seumpamanya.

Ia bermula dari tekad dan protes seorang sutradara muda, Areel Abu Bakar yang percaya bahawa seni bela diri warisan Melayu dan seangkatannya itu, mampu diangkat ke layar perak.

Tekadnya adalah sebagai seorang pesilat dan protesnya adalah sebagai anak seni apabila elit dan pembesar perfileman merasakan filem aksi persilatan tidak akan mendapat sambutan penonton.

Geran juga adalah tekad pelabur di belakang Layar Pictures untuk mengumpulkan sekitar RM700,000 untuk menghasilkan filem kerdil itu. Bukan seorang tetapi lima penerbit yang percaya tekad sutradara muda itu, termasuk isteri tercinta.

Ia juga tekad barisan pelakon dan kru produksinya yang bekerja selama 36 hari penggambaran dengan kekangan bajet tanpa sebarang sokongan.

Setiap aksi stunt dilakukan sendiri, malah penulis difahamkan barisan pelakon tidak menerima bayaran. Manifestasi kita pulang bila menang!

Tanpa nama besar kecuali Namron yang membawakan watak Pak Nayan, Geran dibarisi pelakon baru yang majoritinya adalah pesilat sejati termasuk seorang srikandi Feiya Tajudin yang membawa watak Fatimah, si kakak yang tegas tetapi menyayangi adiknya, Mat Arip (Fad Anuar).

Lakonan Koharullah Majid yang membawa watak Ali, anak sulung Pak Nayan, seharusnya menerima pujian, tidak kekok, malah amat meyakinkan terutama dalam babak pertempuran dengan lawan yang mendebarkan.

Kemunculan Datuk Raja Majid Md Isa iaitu Guru Utama Pusaka Gayong dalam filem ini pula tentunya menyentuh hati pengamal-pengamal ilmu persilatan, khususnya anak-anak Gayong.

Penulis percaya, hati seluruh barisan pelakon dan kru produksi menjadi satu bahawa seni persilatan adalah layak, setanding dan mampu menarik malah meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Jika tidak orang lain pun, penulis antara penonton yang terkesan dengan aksi dan setiap pengajaran yang tersirat dalam naskah Geran.

Jujurnya penulis tidak menyedari tentang filem ini. Asalnya mahu menonton filem Joker untuk kali kedua di pawagam.

“Nak tengok Joker atau Geran bro, tapi Fauziah Nawi kata kita wajib tengok filem ini,” kata sahabat yang percaya naskah filem itu bukan sekadar karya komersial sebaliknya cerminan masyarakat.

Lalu kami beli tiket Geran dan meluangkan masa sekitar sejam 40 minit untuk menonton filem drama aksi persilatan ini dan dipendekkan cerita, filem Geran tidak mengecewakan.

Jika Tony Jaa mengangkat Tomoi dan Ip-Man membawa Wing Chun kepada dunia, maka Geran adalah filem yang membawa seni silat ke mata dunia!

Geran memenuhi segalanya sebagai sebuah filem drama aksi. Setiap buah pukulan, kunci, kekuda dan senjata yang diguna adalah lambang maruah bela diri anak bangsa yang terpinggir dari sisi sebahagian anak muda era revolusi digital.

Penulis merasa cukup terharu, malah ada ketikanya merasa amat sebak kerana terpaksa menunggu terlalu lama untuk karya berkualiti sebegini diangkat ke layak perak.

Walaupun Geran jauh dari kesempurnaan terutama dari aspek teknikal, ia adalah sebuah naskah meyakinkan yang mampu menambat hati penonton dengan syarat sampai ke pengetahuan ramai.

Realitinya, ujian Geran masih berlarutan. Kekangan kewangan menyebabkan filem ini tidak ditayangkan dengan meluas sebaliknya di pawagam-pawagam terpilih. (Boleh rujuk FB Filem Geran)

Malah di saat artikel ini ditulis, penulis difahamkan Facebook mengenakan sekatan terhad kepada laman FB Filem Geran atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

Setiap posting mereka yang dulunya meraih purata 29,000 view kini hanya tinggal sekitar purata 7,800 view setiap posting.

Geran bukan sekadar filem aksi, ia adalah filem yang sarat dengan dakwah dan pengajaran kepada generasi muda untuk menghargai dan mempercayai jati diri dan warisan bangsanya.

Naskah ini menyelitkan pengajaran dalam peribahasa, mutiara kata & ayat al Quran di dalamnya. Ia menceritakan permasalahan dalam keluarga dan masyarakat serta bagaimana persoalan pokok mengenai kebenaran yang akan mengatasi yang batil.

Persoalan Pak Nayan dan Haji Daud dalam filem Geran bukan hanya berlaku dalam kalangan orang Melayu, tapi seluruh ras dan bangsa di negara ini.

Persoalan mereka yang tamak dan mengambil kesempatan, isu gelojak darah anak muda hilang arah, kasih sayang seorang abang kepada adik, ketegasan seorang kakak membela harta pusaka, kepercayaan seorang bapa kepada anaknya, ketenangan pendekar bergantung pada tali Allah dan kesatuan masyarakat membela, ditonjolkan dalam Geran.

Ditayangkan bermula 10 Oktober lalu, filem Geran kini memasuki pecutan terakhir di pawagam. Ia mengisahkan tentang sebuah keluarga pesilat yang mempertahankan geran tanah pusaka mereka.

Akhirnya (sepertimana terkandung dalam naskah Geran), jika kita tahu apa yang kita cari, usahlah terlalu gundah dengan urusan dunia ini kerana pertolongan dari Dia tak akan pernah terhalang. Yang Hak Akan Mengatasi Yang Batil. – AlHijrah Online

Penulis adalah Editor AlHijrah Online yang percaya kepada kata-kata Bung Karno bahawa bangsa yang tidak percaya kekuatan dirinya sebagai suatu bangsa, tidak akan dapat berdiri sebagai suatu bangsa merdeka.

Leave a Reply