DIPLOMASI SAMBAL BELACAN

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Tanpa disedari ramai, ‘diplomasi sambal belacan’ secara tidak langsung telah menjadi instrumen mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia-Singapura.

Perkara itu akhirnya diketahui umum apabila Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkongsi kisah menarik mengenai sambal belacan hasil air tangannya yang digemari oleh seorang pemimpin dunia.

Siapa sangka sambal belacan yang sudah menjadi kelaziman untuk dinikmati bersama nasi putih mahupun juadah masakan lain bagi rakyat Malaysia turut memikat hati bekas Perdana Menteri Singapura iaitu mendiang Lee Kuan Yew.

Dalam satu hantaran di laman Twitter, Tunku Azizah yang lebih dikenali ‘cheminahsayang’ dalam platform media sosial itu menarik perhatian bahawa baginda pada masa dahulu merupakan pembekal rasmi sambal belacan kepada Lee.

Malah, Raja Permaisuri Agong masih menjadi pembekal sambal belacan ke republik itu dan kini dinikmati oleh anak mediang Lee yang merupakan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

“Yang ni, dah lama saya nak share dengan rakyat Malaysia …. saya dulu … the official sambal belacan supplier to the Prime Minister of Singapore .. Datuk Lee Kuan Yew … and now supply kepada anaknya PM Lee juga,” ciapnya.

Tunku Azizah pada masa sama turut berkongsi gambar sepucuk surat diutus oleh bekas Perdana Menteri Lee yang dimuat naik dalam akaun Instagram ‘airtangan_tunkuazizah’.

“The six packets of belacan you gave me were delicious. I shared them with my two sons. They have all been consumed. It is the best chilli belacan we have tasted. Can my family have a few more?

“Sorry to trouble you over this. It makes so many dishes taste better.”

(“Enam paket (sambal) belacan yang Tuanku berikan kepada saya sangat sedap. Saya menikmatinya bersama dua anak lelaki saya. Semuanya habis dimakan. Ia sambal belacan terbaik yang pernah kami rasai. Jika boleh keluarga saya mahu menikmatinya lagi

“Maaf kalau menyusahkan. Sambal ini menjadikan banyak hidangan lebih sedap.”)

Surat berkenaan bertarikh 23 Julai 2009.

Tunku Azizah yang memuat naik gambar berkenaan pada 2 Mei 2018 di laman Instagram berkenaan menyifatkan ia sebagai surat yang paling bermakna untuknya.

“…kerana sambal belacan…terharu sangat,” titah Seri Paduka.

Akaun Instagram ‘airtangan_tunkuzaizah’ memaparkan koleksi masakan oleh Baginda yang memang dikenali sebagai seorang anak raja yang gemar memasak. — BERNAMA

Leave a Reply