MASIH ADA HARAPAN PENGECUALIAN VISA AMERIKA?

Last Updated on

Oleh Prof Dr Azmi Hassan

Rakyat Malaysia masih mengharap tidak perlu membuat permohonan visa untuk melawat Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja kerana proses permohonan visa memerlukan penelitian rumit, tetapi dilihat sebagai tidak adil jika hanya rakyat AS diberi keistimewaan pengecualian visa apabila melawat Malaysia.

Dalam hal ini adalah menarik sekali apabila Duta AS ke Malaysia, Kamala Shirin Lakhdhir beberapa minggu lepas menegaskan masih ada harapan untuk rakyat Malaysia memperolehi status pengecualian visa itu jika kedua-dua negara bekerjasama.

Menarik kerana sejak Presiden Donald Trump mengambil alih kepimpinan White House pada 2017, tiada negara baharu yang memperolehi status pengecualian visa AS itu.

AS melaksanakan Program Pengecualiaan Visa (VWP) yang membenarkan rakyat negara tertentu melawat AS tanpa visa selama 90 hari dan setakat kini 38 negara menikmati kemudahan tersebut termasuk dua negara Asean iaitu Brunei dan Singapura.

Manakala Malaysia bermula 2013 telah bersusaha keras memenuhi kriteria supaya diterima masuk ke dalam program tersebut demi memudahkan rakyat Malaysia berkunjung ke AS.

Usaha itu terencat dan terhenti sedikit apabila pentadbiran White House bertukar pada 2017.

Perlu ditekankan juga bahawa rakyat AS tidak memerlukan visa untuk berkunjung ke Malaysia dan ini adalah antara syarat yang perlu dipenuhi bagi negara VWP dan bagi Malaysia syarat ini telah dipenuhi buat sekian lamanya.

Bersandarkan keperluan syarat VWP sehingga Januari 2018 Malaysia sudah begitu hampir memenuhi peruntukan yang telah ditetapkan kecuali peratus keputusan kelulusan permohonan visa B1 dan B2 belum mencapai tahap 97 peratus seperti yang dikehendaki VWP.

Visa B1 dikeluarkan untuk urusan perniagaan sementara visa B2 adalah untuk urusan lawatan melancong.

Tiada isu untuk permohonan visa belajar kerana 99 peratus permohonan dibuat rakyat Malaysia diterima.

Timbulnya isu status Malaysia dalam VWP kali ini kerana ketika lawatan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke AS dua bulan lalu, antara agenda pertemuan ialah dengan pemangku Setiausaha (Menteri) Keselamatan Dalam Negeri Kevin McAleenan dan kedudukan Malaysia dalam VWP turut dibincangkan.

Statistik terkini peratus kelulusan permohonan visa AS oleh rakyat Malaysia untuk kategori B1 dan B2 menurut Kamala lagi enghampiri 95 peratus dan beliau yakin tahap 97 peratus mampu dicapai.

Dengan kerjasama erat di antara kedua-dua negara terutama sekali dalam hal sistem kawalan keselamatan sempadan Malaysia, beliau berpendapat Malaysia mempunyai peluang yang agak cerah untuk menyertai VWP.

Keyakinan yang agak positif Kamala ini amat jauh berbeza ketika beliau di temuramah pada Januari 2018 sempena setahun menjadi Duta ke Malaysia apabila beliau menegaskan penerimaan Malaysia ke VWP tidak mungkin akan berlaku dalam masa terdekat.

Ini adalah kerana pentadbiran Trump belum lagi membatalkan pembekuan permohonan negara baharu VWP.

Tambah Kamala lagi dalam temuramah 2018 dan terkini beberapa hari lepas, bukan sahaja peratus kelulusan visa menjadi ukuran penerimaan Malaysia ke dalam VWP, tetapi yang lebih penting isu keselamatan pasport.

Mengapa isu pasport menjadi perhatian ialah beberapa minggu lepas terbongkar sendiket menjual MyKad dan sijil kelahiran yang sah kepada kumpulan yang tidak layak memilikinya.

Terbongkarnya sendiket tersebut ialah apabila pemilik tidak sah MyKad cuba membuat permohonan pasport Malaysia dan amat dibimbangi bahawa peristiwa sebegini bukan sahaja memberi implikasi keselamatan tetapi juga telah mengakibatkan gambaran tidak baik mengenai keutuhan keselamatan pasport Malaysia yang selama ini antara pasport paling berharga di dunia.

Hampir dua tahun lepas iaitu ketika Trump baharu setahun mengambil alih jawatan presiden, Kuala Lumpur begitu yakin bahawa Malaysia akan diberi pengecualian keperluan visa paling lewat menjelang September 2018 kerana hampir 80 peratus syarat teleh pun dipenuhi ketika itu.

Tapi hakikatnya ialah pembekuan permohonan baharu dalam VWP masih lagi terlaksana dan tidak kelihatan langsung isyarat yang menjerumus kepada keputusan sebaliknya.

Ditambah lagi dengan beberapa dasar imigran pentadbiran Trump yang agak begitu ketat dan tertutup yang langsung tidak memberi kelebihan kepada negara seperti Malaysia, nampak gayanya kita perlu menunggu lebih lama lagi untuk mendapat kemudahan melawat AS tanpa visa.

Walaupun mengambil kira kenyataan positif Kamala sebagai panduan, dasar pentadbiran Trump menyukarkan lagi keadaan. — AlHijrah Online

Penulis adalah Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Leave a Reply