SERANGAN JANTUNG MENGEJUT: KENAPA KITA PERLU PEDULI?

Last Updated on

Dr Azlan Helmy Abd Samat

Lokasi: Zon Merah Jabatan Kecemasan PPUKM. Situasi: seorang pesakit rebah ketika sedang bersolat.

Doktor A, ” It is VF (Fibrilasi Ventrikel), deliver SHOCK Now!!”

Doktor B, “I am clear, everyone clear?” Sambil memegang pedal alat renjatan elektrik mesin defibrilasi di dada pesakit.

ED Team (Tim Jabatan Kecemasan), ” Clear!”

Doktor B, ” Dialing up at 360 Joules, delivering shock Now!” 

Kedush..”shock delivered!!” Doktor A, “Continue CPR now!”

Tim perubatan kecemasan di zon merah mencuba sedaya upaya selama 40 minit, namun bacaan di kaca monitor tidak menunjukkan sebarang tindak balas. Hanya flat line… jantung sudah berhenti!

Saya bisikkan ke telinga anak lelaki pesakit, “Encik tolong bacakan syahadah di telinga ayah, beliau sudah tiada, kami dah cuba sedaya upaya…..” Air mata anaknya bergenang… Innalillahiwainna ilahirrajiun…

Pemergian orang tersayang dengan cara dramatik dan mengejut sebegini memang sukar diterima. Namun, apa yang kita semua mampu atau boleh lakukan?

Persoalan pertama: Apa itu Cardiac Arrest atau serangan jantung mengejut? Apa itu Fibrilasi Ventrikel (VF)

Sudden Cardiac Arrest adalah keadaan di mana fungsi jantung tiba-tiba berhenti. Fungsi elektrikal jantung yang menentukan ritma serta kadar jantung berdegup semenjak seseorang itu lahir, secara tiba-tiba berhenti atau mengalami kecelaruan ritma dikenali juga sebagai Fibrilasi Ventrikel (Ventricle Fibrillation).

Tahukah anda yang jantung kita berdegup secara puratanya 115,200 kali sehari, membantu pengaliran oksigen dalam darah ke otak, jantung, buah pinggang dan seluruh badan dengan mengepam 7,500 liter darah sehari!

Jika jantung berhenti berdegup walau hanya beberapa saat, aliran darah ke otak akan terhenti menyebabkan seseorang individu itu pengsan. Dan jika keadaan ini berterusan, tanpa bantuan awal kecemasan CPR, aliran darah akan terus terhenti dan mangsa akan mengalami kematian atau rosak fungsi saraf otak secara kekal.

Persoalan kedua: Realiti Serangan Jantung Mengejut.

Minggu lalu, dua anak kecil berusia enam dan empat tahun menjadi anak yatim sekelip mata setelah bapa mereka pergi buat selama-lamanya selepas mengalami serangan jantung ketika sedang bertanding dalam sukan sepak takraw.

Beberapa hari kemudian, seorang gadis diselamatkan oleh beberapa orang wanita yang tahu CPR.

Pengalaman peribadi penulis, insiden seorang lelaki pertengahan usia mengalami serangan jantung ketika bermain futsal telah diselamatkan anak saudara beliau yang tahu CPR amat menginsafkan.

Terbukti ilmu CPR yang dipelajari anak saudaranya ketika aktiviti pasukan beruniform di sekolah, membantu menyelamatkan bapa saudaranya yang ketika itu di ambang maut.

Seminggu kemudian mangsa dibenarkan keluar dari hospital tanpa sebarang kecacatan fungsi saraf kekal, kemudiannya terima rawatan susulan jantung oleh pakar jantung. 

Mengapa natijah setiap kes berbeza? Ada manga yang berjaya dan ada gagal diselamatkan? 

Jawapan sebenarnya terletak pada bahu kita sebagai ahli masyarakat yang menentukan kadar bystander CPR iaitu merujuk kepada kadar bantuan kecemasan awal diberikan orang awam sebelum ambulans sampai atau dibawa ke hospital untuk rawatan.

Persoalan ketiga: Peranan BYSTANDER CPR

Persoalan utamanya adakah rakyat Malaysia menyedari akan kepentingan ini?

Kajian Pan-Asian Resuscitation Outcomes Study (PAROS) menunjukkan kadar Bystander CPR di Malaysia hanyalah dalam sekitar 8 – 20 peratus bergantung kepada kepadatan dan lokasi penduduk. Ini jauh lebih rendah berbanding negara-negara seperti Jepun dan Australia yang kadarnya hampir mencecah 40 peratus.

Dengan kata lain, di negara kita, bagi setiap 100 kes serangan jantung yang berlaku, hanya lapan mangsa yang bernasib baik untuk menerima bantuan daripada orang di sekeliling kita.

Renungkan hal ini. Tanggunjawab ini, tanggungjawab kita Bersama. Mari kita belajar ilmu CPR ini dan ingatlah ayat Al Quran dari surah Al Maidah yang bermaksud,

“Menyelamatkan satu nyawa, seolah-olah menyelamatkan seluruh umat manusia”.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kecemasan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Ketua Koordinator FIMALifeSaver 2019 dan Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM).

Leave a Reply