8,000 SERTAI PERARAKAN MAULIDUR RASUL DI AXIATA ARENA, BUKIT JALIL SABTU INI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Lebih 8,000 peserta dari 100 agensi kerajaan, swasta, pertubuhan dan badan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai perarakan kontinjen sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M pada Sabtu ini di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Mohamad Nordin Ibrahim berkata, perarakan kontinjen bermula 7.45 pagi itu akan diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Bertemakan “Negara Rahmah Ummah Sejahtera”, Mohamad Nordin berkata, majlis sambutan itu akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut dijadualkan hadir Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet, kenamaan dan dif jemputan serta duta-duta luar negara.

“Tema Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan pada tahun ini ialah “Negara Rahmah Ummah Sejahtera”. Islam merupakan agama rahmah yang mengajak manusia untuk saling hormat menghormati, berkasih sayang, bertoleransi, saling memaafkan dan bersifat belas kasihan. Kasih sayang yang dianjurkan oleh Islam dapat dilihat melalui konsep rahmah yang ditekankan dalam al-Quran.

“Konsep Rahmatan Lil ‘Alamin yang dibawa oleh Baginda SAW ini merangkumi segenap aspek kehidupan termasuk sikap adil, berkasih sayang, bertolak ansur, bersangka baik, berlemah lembut, perdamaian dan harmoni,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Nordin berkata dalam membina dan menyuburkan suasana kehidupan harmoni, pembangunan kerangka konsep “Rahmatan Lil ‘Alamin” di Malaysia seharusnya mengambil kira asas-asas konsep tersebut seperti termaktub di dalam al-Quran dan Hadith.

“Menjadi tanggungjawab setiap Muslim untuk berusaha membawa agama Islam ini agar dapat difahami dengan baik oleh golongan bukan Muslim sehingga mereka berminat untuk mendalami Islam,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Mohamad Nordin berharap Malaysia dapat menjadi model negara Islam terbaik dan mencipta kegemilangan dalam kalangan negara-negara Islam dan negara bukan Islam sedunia dengan penghayatan konsep rahmah oleh setiap individu Muslim.

“Dengan sifat rahmah persengketaan dapat dileraikan dan kekusutan dapat dirungkaikan serta masyarakat dapat mencapai keharmonian dan kesejahteraan. Sifat rahmah adalah bukti ketingggian akhlak dan keperibadian unggul sesebuah masyarakat,” katanya.

Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan dimulai dengan sembah ucapan aluan Mujahid selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan.

Kemuncak sambutan itu adalah penyampaian anugerah kepada seorang penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M yang akan menerima wang tunai RM50,000 berserta hadiah trofi dan sijil penghargaan.

Orang ramai boleh menyaksikan siaran secara langsung Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2019M di RTM dan TV AlHijrah serta radio-radio di bawah seliaan RTM dan radio IKIM.FM selain webstreaming TV JAKIM di www.tvjakim.my. – AlHijrah Online

Leave a Reply