WANG ZAKAT “HARUS” DIBERI KEPADA BUKAN ISLAM DI SABAH

Last Updated on

KOTA KINABALU: Fatwa mengenai pengagihan wang zakat untuk orang bukan Islam di Sabah telah dikeluarkan sejak lima tahun lalu namun pelaksanaannya bergantung kepada keadaan khusus dengan mengambilkira kutipan zakat dan keutamaan adalah masyarakat Islam.

Menjelaskan perkara itu, Mufti Sabah Datuk Bungsu Aziz Jaafar berkata berdasarkan fatwa itu, hukum untuk memberikan zakat kepada orang bukan Islam di negeri ini adalah “harus” tetapi bergantung kepada sesuatu keadaan penerima itu.

“Kita sudah keluarkan fatwa lima tahun lalu bahawa pengagihan zakat itu kepada yang memerlukan termasuk asnaf fakir atau miskin, walaupun bukan Islam dibolehkan (menerima zakat).

“Dalam fatwa itu kita telah meluaskan tafsiran muallaf kepada bukan Islam, yang termasuk asnaf muallaf ini ialah bukan Islam dan mereka boleh diberikan zakat tetapi mengikut kes,” katanya ketika ditemui pada majlis tilawah Al-Quran peringkat negeri Sabah, di Wisma Muis di sini hari ini.

Bungsu Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai pengagihan zakat kepada orang bukan Islam di negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata dari segi pengagihan itu adalah bergantung kepada Pusat Zakat dan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat di negeri ini, mereka perlu rujuk kepada fatwa mengenai perkara itu.

Sementara itu, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Datuk Uda Sulai berkata bangunan Perpustakaan Islam yang terletak di perkarangan Masjid Negeri dijangka akan mula beroperasi pada tahun depan.

Beliau berkata bangunan itu telah siap dan perlu melalui beberapa prosedur sebelum diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang akan menempatkan galeri kaligrafi Islamik serta buku dan kitab berkaitan agama dari seluruh dunia.

Bangunan itu mula dibina pada 2016 dengan kos bernilai RM3 juta. — BERNAMA

Leave a Reply