MUJAHID SEDIH, KECEWA TRAGEDI MURID LELAKI TUJUH TAHUN MAUT DI TAHFIZ

Last Updated on

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa mengucapkan takziah kepada keluarga pelajar lelaki sebuah maahad tahfiz di Lanchang, Temerloh, Pahang yang maut dengan kesan lebam di badan.

Mujahid turut melahirkan rasa sedih dan kecewa apabila pihak polis turut menemui kesan lebam pada badan mangsa yang baru berusia tujuh tahun itu.

“Saya rasa sungguh sedih apabila anak yang baru berusia tujuh tahun, baru hendak mengenal dunia menjadi mangsa.

“Saya percaya pada kecekapan pihak polis dan berharap agar hasil siasatan yang dijalankan dapat mengetahui punca kematian anak berkenaan,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Media hari ini melaporkan seorang murid di pusat tahfiz di Lanchang maut dipercayai dipukul selepas ditemui dalam keadaan lemah dengan kesan lebam pada badannya di asramanya semalam.

Murid lelaki berusia tujuh tahun itu ditemui wardennya kira-kira jam 1 tengah hari dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lanchang untuk rawatan sebelum disahkan meninggal dunia di klinik terbabit.

Mengulas lanjut, Mujahid turut mengingatkan ibu bapa agar menghantar anak mereka ke pusat tahfiz atau sekolah pondok yang berdaftar.

Katanya, ini bagi memudahkan kerajaan serta Jabatan Agama Islam Negeri memantau segala kegiatan kokurikulum serta aktiviti-aktiviti yang dilakukan di pusat berkenaan agar mengikut piawaian demi memastikan keselamatan dan kebajikan pelajar terjamin. – AlHijrah Online

Leave a Reply