23 TERBUNUH BANTAHAN DI IRAQ

Last Updated on

BAGHDAD : Seramai 23 penunjuk perasaan dan anggota keselamatan terbunuh serta lebih 1,077 cedera dalam demonstrasi di Baghdad dan wilayah selatan Iraq dari 3 hingga 7 November lalu, demikian menurut laporan Suruhanjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Iraq.

Agensi berita Xinhua melaporkan suruhanjaya itu menyatakan pasukan keselamatan menggunakan peluru hidup, gas pemedih mata dan bom bunyi secara berterusan bagi menyuraikan penunjuk perasaan di wilayah yang dipantaunya.

Suruhanjaya juga menggesa pasukan keselamatan untuk mengambil langkah lebih berperikemanusiaan dalam menangani penunjuk perasaan.

Ulama syiah terkemuka di Iraq, Ali al-Sistani berkata pada Jumaat, bahawa kerajaan Iraq mempunyai peluang yang unik dalam menangani kehendak penunjuk perasaan, sambil memberi amaran pihak tertentu di dalam dan luar negara mengeksploitasi demonstrasi itu untuk mencapai matlamat mereka.

Ulama terbabit juga mendesak pasukan keselamatan mengelakkan keganasan, terutamanya keganasan berlebihan ketika menangani penunjuk perasaan aman.

Menurut agensi itu, sejak 25 Oktober, demonstrasi telah berlangsung di Baghdad dan bandar-bandar lain di tengah dan selatan Iraq bagi menuntut reformasi secara menyeluruh, memerangi rasuah, meningkatkan perkhidmatan awam dan peluang pekerjaan.

Awal Oktober lalu, protes meletus di seluruh Iraq atas faktor sama. — Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply