96 PERATUS JANGKITAN BAHARU COVID-19 KATEGORI 1 DAN 2

Sumber Gambar: AFP

PUTRAJAYA: Sejumlah 96 peratus daripada 13,215 kes positif COVID-19 yang dicatatkan hari ini, adalah pesakit COVID-19 kategori satu dan dua.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, seramai 8,047 kes daripada jumlah kes positif harian merupakan pesakit kategori satu yang tidak mempunyai sebarang gejala.

“Seramai 4,637 kes merupakan pesakit COVID-19 kategori dua yang bergejala ringan.

“Selebihnya, sebanyak 531 kes yang dilaporkan terdiri daripada kategori 3 hingga kategori 5.

“Pesakit kategori ini mempunyai jangkitan paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Kes harian positif baharu COVID-19 melonjak drastik hari ini dengan mencatatkan jumlah sebanyak 13,215 kes.

Sebanyak 110 kes kematian direkodkan hari ini dengan Selangor mencatatkan angka kematian harian tertinggi dengan 45 kes.

Angka jangkitan baharu harian meningkat lebih dari 10,000 kes bermula 13 Julai iaitu 11,079 kes dan semalam sebanyak 11,618 kes.—AlHijrah Online

Leave a Reply