ANAK TERLIBAT AJARAN SESAT BUNUH IBU BAPA BERDEPAN HUKUMAN MATI

LIPIS: Seorang pengganggur berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan membunuh ibu dan ayah kandungnya di Kampung Kemahang, di sini, pada 4 Oktober lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan terhadap tertuduh Ahmad Hafizuddin Mohammad, 31, selepas dua kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad.

Tertuduh didakwa membunuh Mohamad Maasai, 68 dan Zailan Zainudin, 64, di sebuah rumah di Kampung Kemahang, Benta antara pukul 11 malam hingga 12 malam pada 4 Oktober lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 301 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamad Noh meminta tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri bagi melakukan ujian mental dan memohon mahkamah tidak memberikan jaminan terhadap tertuduh.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan tertuduh dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Permai, Johor Bharu selama sebulan mengikut Seksyen 342(5) Kanun Tatacara Jenayah.

Kes disebut semula pada 11 November depan.

Media sebelum ini melaporkan sepasang suami isteri maut selepas dikelar anak lelaki mereka di Kampung Kemahang Hulu, Lipis, tengah malam pada 4 Oktober lalu.

Berdasarkan siasatan awal pihak polis, suspek yang berusia 31 tahun yang dipercayai terlibat dengan ajaran sesat telah menggunakan senjata untuk mengelar leher dan menetak kedua-dua mangsa.—AlHijrah Online

Leave a Reply