COVID-19: 47 KES POSITIF, 44 KES SEMBUH, TIADA KEMATIAN HARI INI

Last Updated on

PUTRAJAYA: Sebanyak 47 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di negara ini setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 29 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

“Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 6,941 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,213 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini. 

Menurutnya, sebanyak 44 kes sembuh dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 5,615 kes iaitu 80.9 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata tiada kes kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas setakat 12 tengah hari menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal pada 113 kes.

“Sehingga kini, terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 27 April lepas sehingga semalam, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menghantar pulang seramai 49,019 pelajar ke pangkuan keluarga masing-masing.

Dr Noor Hisham berkata bagi perjalanan merentas negeri di Semenanjung Malaysia, kesemua pelajar diwajibkan menjalani kuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari apabila tiba di kediaman masing-masing.

“Bagi pelajar yang ke Sabah dan Sarawak pula, mereka perlu menjalani ujian persampelan COVID-19 dan sekiranya keputusan negatif, baki tempoh kuarantin perlu dijalankan di rumah masing-masing.

“Kementerian Kesihatan (KKM) menyeru semua pelajar untuk mengambil iktibar daripada kes beberapa pelajar sebuah institusi pengajian iinggi (IPT) yang telah diwajibkan menjalani kuarantin di rumah, namun didapati tidak patuh dan kemudiannya didapati positif COVID-19,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sikap sedemikian boleh menyebabkan orang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak dan orang yang mempunyai sejarah penyakit kronik terdedah kepada jangkitan COVID-19. 

Katanya daripada keseluruhan kes positif COVID-19 di negara ini setakat ini, sebanyak 961 kes melibatkan mereka yang berusia 60 tahun ke atas manakala kelompok berusia 12 tahun ke bawah pula merekodkan 318 kes.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan berhubung pergerakan merentas negeri selepas dilaporkan 2,931 kenderaan diarah berpatah balik setelah didapati cuba merentas negeri untuk pulang ke kampung dalam tempoh tiga hari lepas.

“Ini sememangnya merisaukan, terutama jika dicampur pula dengan pelajar-pelajar IPT yang telah pulang ke rumah keluarga masing-masing,” katanya.

Beliau seterusnya menggesa rakyat terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutamanya pada musim perayaan tidak lama lagi. — BERNAMA

Leave a Reply