COVID-19: 74 PULIH, 39 POSITIF DAN TIADA KEMATIAN DIREKODKAN HARI INI

Last Updated on

PUTRAJAYA: Situasi COVID-19 di Malaysia terus menunjukkan tanda positif apabila 74 kes telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini, hampir dua kali ganda berbanding kes baharu iaitu 39 kes setakat 12 tengah hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 4,776 kes iaitu 73.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Katanya kes positif COVID-19 kini berjumlah 6,467 kes, di mana jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,584 kes dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

“Daripada 39 kes baharu yang dilaporkan hari ini, satu kes import dilaporkan. Ini bermakna, kes penularan tempatan adalah 38 kes, di mana lapan kes telah dikesan dari kluster dan lokaliti di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya dalam sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, sehingga kini, terdapat 19 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lapan kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya berdasarkan maklumat terkini yang dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC), tiada kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan hari ini.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 107 kes iaitu 1.65 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengenal pasti satu kluster melibatkan pengawal dan anggota keselamatan di sebuah pusat beli-belah di Cheras.

Menurutnya setakat ini 10 kes positif COVID-19 dilaporkan dalam kluster berkenaan, yang melibatkan sembilan warganegara Nepal dan seorang warganegara Malaysia.

“Punca jangkitan kluster ini masih di dalam siasatan. Langkah-langkah pembendungan dan pencegahan dijalankan seperti mengenal pasti dan menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas semua pekerja dan kontak rapat mereka,” kata Dr Noor Hisham.

Ekoran itu, saringan COVID-19 dijalankan ke atas penghuni kediaman yang sama dengan mereka yang dijangkiti, melibatkan pekerja pasar raya yang berkait rapat.

Katanya setakat ini, 436 orang telah disaring dengan 10 kes didapati positif, 347 kes negatif dan 79 masih menunggu keputusan.

Mengenai sambutan Hari Wesak, Dr Noor Hisham berharap perayaan itu diraikan dengan kelaziman baharu memandangkan perhimpunan secara besar-besaran dan aktiviti kunjung-mengunjungi tidak dibenarkan ketika ini.

“PKPB masih perlu dipatuhi, pastikan jarak sosial selamat sekurang-kurangnya satu meter dari orang lain dan tidak mengadakan atau menyertai sambutan secara beramai-ramai,” tegasnya.

Beliau seterusnya mengingatkan majikan pelbagai sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi agar mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa berdasarkan sektor masing-masing, antaranya mengelak berada di kawasan sesak, di kawasan tertutup, dan mengekalkan jarak satu meter ketika bercakap.

Katanya KKM akan terus memantau perkembangan jangkitan pandemik COVID-19 melalui maklumat daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) selain memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan. — BERNAMA

Leave a Reply