DARI QUARANTINE KE #QURANTIME

Di saat catatan ini dibuat, saya kira majoriti umat Islam di Malaysia sudah tahu yang solat Jumaat hari ini ditiadakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Umat Islam sebaliknya diminta kekal di kediaman masing-masing dan menggantikan solat Jumaat dengan solat zohor.

Ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu dalam usaha Kerajaan Malaysia mengekang gelombang ketiga virus merbahaya itu daripada berlaku.

Realiti di Malaysia amat menggusarkan apabila saban hari jumlah kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat dan terkini mencecah 900 kes dengan 110 kes baharu. Angka maut kekal dua mangsa akibat virus yang berasal dari Wuhan, China.

Di seluruh dunia, lebih 229,000 individu dijangkiti dengan 9,377 kematian direkodkan termasuk 86,254 kes telah sembuh.

Dua minggu lalu, siapa menyangka yang kita akan berada dalam situasi yang hampir sama dengan apa berlaku di Itali dan Iran akibat virus yang masih belum ditemui penawarnya.

Jumaat lalu, umat Islam masih lagi boleh berjemaah hinggalah ketibaan gelombang kedua COVID-19 yang sebahagian besarkan dikaitkan dengan Ijtimak Tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling apabila ada dalam kalangan jemaahnya dijangkiti.

Di sebalik kekalutan itu, ada hikmah yang mungkin hadir dalam bentuk ruang masa untuk kita bersama-sama keluarga di rumah dan mendekatkan diri kepada pemilik kerajaan di langit dan bumi, Allah swt.

Di sebalik kekosongan yang ada menjelang waktu zohor nanti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), TV AlHijrah, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas dan Sinar Harian bergabung tenaga untuk membawa sesi satu jam bersama Al-Quran yang akan disiarkan secara langsung di saluran 114 TV AlHijrah ke seluruh Malaysia.

Menjelang solat zohor di antara jam 12 tengah hari hingga jam 1 tengah hari nanti seluruh umat Islam di negara ini dijemput untuk menyertai Solidariti Malaysia #Qurantime @Quarantine iaitu manifestasi solidariti rakyat Malaysia ketika berdepan wabak COVID-19.

Di waktu itu, umat Islam dijemput untuk bersama-sama membaca al-Quran di mana pun mereka berada di hadapan kaca televisyen.

“Di dalam suasana takut, sedih, bimbang dan lemah yang menyelubungi rakyat saat ini, kita berharap Al-Quranlah yang memberikan kekuatan, penyejuk, petunjuk, panduan dan penyembuh kepada kita semu,” kata Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas yang juga Penerbit Sinar Harian, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam whatsapp yang viral semalam.

Apa yang menarik ialah surah Ar Rahman (Yang Maha Pemurah) dipilih sebagai surah yang akan dibacakan bersama-sama umat Islam nanti.

Surah Ar Rahman adalah surah ke-55 dari 114 surah dalam Al-Quran.

Saya kira pemilihan surah ini bertepatan pada waktu genting yang dihadapi umat Islam di Malaysia kerana surah ini secara umumnya mengingatkan kita untuk selalu bersyukur di atas nikmat yang Allah berikan.

Surah ini secara peribadinya amat dekat dengan saya yang bergelumang dalam dunia kemanusiaan, khususnya ayat “fa biayyi aalaa-I robbikumaa tukadz-dzibaan” yang bermaksud “Maka nikmat Tuhanmu yang mana lagi kamu dustakan?”

Terasa diri ini amat kecil dan kerdil saat menyelami dan menghayati ayat ini mengenangkan betapa banyaknya nikmat yang Allah swt kurniakan kepada kita, termasuklah nikmat kehidupan itu sendiri.

Hakikatnya, Tuhan sedang menguji kita di saat genting ini dengan kebenaran dan kesabaran. Barangkali, ia peringatan Tuhan kepada kita bahawa nikmat dikurniakan itu boleh diambil pada bila-bila waktu.

Kelmarin, dalam sesi 60 minit bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada ditanya mengenai hikmah umat Islam tidak dapat berjemaah di masjid akibat wabak koronavirus.

Jawapan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu amat mengesankan saya yang ketika itu turut berada di studio TV AlHijrah bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHIjrah, Namanzee Harris dan wakil pengurusan.

“Dengan berada di rumah itu (ketika ini) jauh lebih baik dan solatlah berjemaah dengan anak dan isteri dengan mengikut kadar dan keadaan terbaik,” kata menteri hal ehwal agama itu merujuk kepada Perintah Kawalan Pergerakan bagi mengekang penularan COVID-19.

Nampak remeh, tetapi bilakah kali terakhir kita berjemaah dengan anak dan isteri di rumah?

“Siapkan Al-Quran bersama-sama kita  dan Insya-Allah kita akan gemakan Surah Ar-Rahman dari manapun kita berada, memahami apa mesej Allah kepada kita dan mengamalkannya dalam kehidupan kita dengan tekun.

“Kepada Allah kita hadapkan wajah kita. Dan kepada Allah jua kita memohon pertolongan untuk  memberikan kita kekuatan bagi menghadapi cabaran saat ini,” kata Hussamuddin yang juga Pengerusi AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) merujuk kepada #Qurantime.

Sama-sama kita menjayakan Solidariti Malaysia #Qurantime @Quarantine yang akan disiarkan secara langsung di TV AlHijrah bermula jam 12 tengah hari nanti dan semoga kita beroleh kekuatan dalam ujian yang berat ini. – AlHijrah Online

2 comments

  • Rohana Abdullah

    Quarantine setiap hari tv alhijrah

  • Abdul Rahman Mohd Shafi

    Alhamdulillah. Your program Qurantime is a true blessing for our umah to follow your program. Covid-19’s issue has given us the golden opportunity to build our knowledge on each Ayat Pl continue this program permanently.

Leave a Reply to Abdul Rahman Mohd Shafi Cancel reply