GURU DALAM PERJALANAN KE SEKOLAH MAUT LANGGAR TRELER

JERANTUT: Seorang guru yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah treler di Kilometer 5 Jalan Jerantut – Maran hari ini.
Kemalangan kira-kira jam 7 pagi itu melibatkan mangsa Suhaimi Yaacob, 56, yang dalam perjalanan untuk ke Sekolah Kebangsaan Felda Gelanggi Dua, maut di tempat kejadian kerana kecederaan parah di kepala dan badan.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azman Mat Kassin berkata, ketika kejadian, sebuah treler dari arah Jerantut ke tempat mengambil buah sawit di Batu 58 telah dilanggar motosikal mangsa.
“Pemandu treler telah memberikan isyarat untuk membelok ke kiri jalan. Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah belakang yang ditunggang oleh mangsa telah hilang kawalan lalu terjatuh dan terseret seterusnya melanggar tayar tengah sebelah kiri lori treler.
“Akibat pelanggaran itu mangsa yang beralamat di Rumah Kilat Peringkat 2, Sungai Jan, Bandar Jerantut mengalami kecederaan parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya seperti dilaporkan media.
Ujarnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Jerantut untuk dibedah siasat.–AlHijrah Online