IMARET SALUR 5,000 TOPENG N95 KE INDONESIA

KUALA LUMPUR: Prihatin dengan situasi menekan COVID-19 di Indonesia, Pasukan Tindakan dan Bantuan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET) hari ini menyalurkan 5,000 topeng muka N95 ke negara jiran itu.

Bantuan alat perlindungan diri (PPE) sumbangan rakyat Malaysia itu diserahkan kepada rakan kerjasama IMARET iaitu Persatuan Perubatan Islam Indonesia (IMANI Care) dan Aksi Cepat Tangkas (ACT) untuk diagihkan kepada 51 penerima atau fasiliti kesihatan memerlukan.

Ketua Koordinator IMARET, Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim berkata pengagihan bantuan fasa pertama IMARET itu akan dilakukan di lima provinsi di Indonesia yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Kawasan terbabit adalah Jawa Timur, DKI Jakarta, Sulawesi Selatan, Kalimantan Selatan dan Jawa Tengah.

“Kita melancarkan Kempen Bantuan COVID19 #KeranaKitaBersaudara sejak 11 Jun lalu untuk menyalurkan bantuan PPE, termasuk 5,000 topeng muka N95, dengan sasaran awal RM50,000 kutipan dana,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Indonesia kini menduduki tangga pertama negara di Asia Tenggara yang terjejas teruk akibat COVID-19 di mana jangkitan COVID-19 melebihi angka 60,000 kes pada Jumaat lalu dengan lebih 3,000 kematian.

Pada Khamis lalu, media melaporkan Indonesia mencatatkan 1,624 kes COVID-19 baharu dalam tempoh sehari.

Sekurang-kurangnya 55 petugas perubatan, termasuk 38 doktor, dilaporkan maut akibat komplikasi COVID-19 yang mana turut dikaitkan dengan isu kekurangan PPE selain faktor lain.

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang boleh menyalurkan dana ke akaun Persatuan Perubatan Islam Malaysia CIMB: 8600 703 709 dengan rujukan COVID19 atau layari http://www.billplz.com/ImaretCovid19. — AlHijrah Online

Leave a Reply