KERAJAAN TANGGUH ISYTIHAR FASA ENDEMIK – HISHAMMUDDIN

Datuk Seri Hishammuddin Hussein

TAWAU : Kerajaan menangguh sementara langkah mengisytiharkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ berikutan peningkatan kes varian Omicron di negara ini.

Menurut laporan, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, pengumuman ‘Peralihan ke Endemik’ itu sepatutnya dibuat pada minggu pertama bulan ini.

Bagaimanapun ia terpaksa ditangguhkan berikutan peningkatan jangkitan varian Omicron, selain kesan daripada individu yang kembali daripada luar negara, khususnya yang menunaikan umrah di Arab Saudi serta bencana banjir baru-baru ini.

“Minggu pertama bulan ini, saya sebenarnya nak umumkan bahawa kita nak masuk kepada fasa transisi endemik.

“Tetapi kita nak tunggu sedikit masa lagi (satu atau dua minggu) kerana apabila kita umumkan fasa transisi endemik ada tujuh atau lapan perkara yang perlu kita maklumkan kepada orang ramai.

“Contohnya prosedur operasi standard (SOP) kita kurangkan kepada satu sahaja iaitu usaha untuk ‘Self Testing Trace’ yang saya dah umumkan sebelum ini, semua itu kita kena didik orang ramai apabila ia dimuktamadkan,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Kem Kukusan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kerajaan pada bila-bila masa bersedia membuat pengumuman atau mengisytiharkan fasa ‘Peralihan ke Endemik’ kerana setiap negeri masing-masing sudah memasuki fasa ke-4.

“Walaupun varian Omicron ini mungkin dari segi kesan jangkitan adalah kurang berbanding varian lain, tetapi semestinya dengan penularan secara besar-besaran akan menjejaskan kesihatan rakyat, selain memberi tekanan kepada penggunaan katil-katil Unit Rawatan Rapi  (ICU) di hospital kita.

“Sebab itu kita nak buka sempadan, kita nak beri kelonggaran, saya dah kata kita tak akan tutup besar besaran lagi, tetapi dalam kita nak buka pun janganlah besar-besaran juga dan mestilah mengikut keadaan dan situasi semasa,” katanya. –AlHijrah Online

Leave a Reply