KES BAHARU COVID-19 KEKAL DUA ANGKA

Last Updated on

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengumumkan kes baharu positif COVID-19 masih lagi dua angka,  iaitu 37 kes dilaporkan sehingga 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu itu, empat adalah kes import manakala bakinya,  33 merupakan kes penularan tempatan.

“Oleh itu, jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 6,779 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,387 kes.

“Sehingga kini, 16 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah itu, empat kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini. 

Menurut beliau, sebanyak 58 kes sembuh dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 5,281 kes, iaitu 77.9 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat dua kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah 111 kes iaitu 1.64 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kes kematian ke-110 (kes ke-6743) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 30 tahun yang ditemukan mati di Rompin, Pahang. Keputusan ujian sampel COVID-19 yang diambil semasa bedah siasat didapati positif pada 12 Mei 2020. Kes ini di bawah siasatan pihak Polis Diraja Malaysia dan Pejabat Kesihatan Rompin. Punca jangkitan belum dikenal pasti dan masih dalam siasatan.

“Kes kematian ke-111 (kes ke-5195) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 90 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi dan penyakit kronik pernafasan. Beliau dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Johor pada 16 April 2020 dan disahkan meninggal dunia pada 13 Mei 2020 pukul 10.36 pagi,” katanya.

Mengulas perkembangan kes COVID-19 di negara ini, beliau mengakui bahawa jumlah kes kumulatif semakin meningkat namun kadar kenaikan kes didapati semakin perlahan.

“Keberkesanan pendekatan oleh kerajaan dapat dibuktikan apabila dikaji dengan menggunakan kaedah permodelan dan ramalan yang dijalankan Institut Kesihatan Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan  Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1 sehingga PKP 4 telah berhasil dalam menurunkan kebolehjangkitan COVID-19 dalam negara,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkongsi amalan 3W iaitu ‘wash’ (basuh), ‘wear’ (pakai)  dan ‘warn’ (amaran), bagi memastikan rakyat negara ini sentiasa menjaga kebersihan diri dalam usaha mengekang penularan jangkitan COVID-19 terutamanya ketika musim perayaan.

“Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), digalakkan memakai alat penutup hidung dan mulut  di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan (warn) iaitu amaran yang lebih berkonsep peringatan,” katanya.

Beliau turut menyarankan rakyat negara ini untuk mengamalkan langkah-langkah pencegahan termasuk mengelak daripada bersalam atau bersentuhan, menjaga etika batuk dan bersin, melakukan disinfeksi, duduk di rumah serta mendapatkan rawatan sekiranya bergejala. — BERNAMA

Leave a Reply