KOS IBADAH HAJI DIJANGKA MENINGKAT, KERAJAAN TERUS TANGGUNG SUBSIDI

KOTA BHARU: Kerajaan akan menanggung subsidi kos ibadah haji yang dijangka meningkat ekoran cukai yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

Jelas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, kerajaan akan mengekalkan subsidi yang telah dibiayai selama ini.

“Kos subsidi yang akan ditanggung kerajaan itu belum diputuskan lagi, namun peratusannya akan kekal seperti sebelum ini.

“Kos ibadah haji yang sebenar juga belum diputuskan kerajaan dan kemungkinan ia akan meningkat berikutan kerajaan Arab Saudi yang menaikkan Cukai Nilai Tambah (VAT) sehingga 15 peratus berikutan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) susulan pandemik COVID-19 apabila bilangan jemaah terpaksa dihadkan,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata kerajaan akan memaklumkan lebih awal kepada bakal jemaah haji jika kos ibadah tersebut meningkat.

“Kerajaan akan berusaha untuk memastikan peningkatan kos haji itu tidak akan membebankan bakal jemaah walaupun kos dijangka meningkat lebih RM30,000, berbanding RM24,000 sebelum ini, dan jemaah hanya perlu membayar RM9,900 sahaja.

“Sebelum ini kerajaan telah menanggung subsidi haji berjumlah hampir RM400 hingga RM500 juta setahun,” katanya.

Semalam media melaporkan Tabung Haji (TH) menjangkakan kos ibadah haji akan meningkat pada musim haji akan datang susulan perubahan SOP ibadah tersebut dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan COVID-19.

Pengarah Eksekutif Haji TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, peningkatan kos tersebut berkait rapat dengan SOP yang perlu dipatuhi seperti penjarakan fizikal, had kapasiti bilik hotel dan bas, serta pergerakan jumlah jemaah dalam Masjid Haram yang turut dihadkan.—AlHijrah Online

Leave a Reply