LEBIH 235,000 HILANG TEMPAT TINGGAL DI IDLIB DALAM TEMPOH DUA MINGGU

ANKARA: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan hampir 250,000 hilang tempat di Idlib, Syria, sejak dua minggu lalu, demikian laporan agensi berita Anadolu.

“Menurut anggaran semasa, lebih 235,000 orang hilang tempat tinggal di selatan Idlib sejak 12 Disember lalu, termasuk 140,000 kanak-kanak,” demikian menurut kenyataan Pejabat Koordinasi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (UNOCHA).

Kenyataan itu berkata PBB “amat bimbang” dengan keselamatan dan perlindungan lebih tiga juga populasi awam di Idlib dengan lebih separuh darinya menjadi pelarian dalaman sejak peningkatan keganasan di wilayah itu.

Menjelaskan terdapat beberapa bandar di sekitar yang hampir kosong selepas penduduk melarikan diri ke utara, PBB melaporkan ia menerima laporan orang awam dibunuh ketika mereka cuba menyelamatkan diri.

“Satu serangan udara dilaporkan berlaku di kampung Jawbas dekat bandar Saraqab di mana orang awam berkumpul pada 24 Disember lalu. Sekurang-kurangnya 12 orang, termasuk empat kanak-kanak, terbunuh,” kata UNOCHA.

Pertempuran di darat juga memburukkan keadaan dengan laporan menunjukkan berpuluh-puluh orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak tercedera akibat serangan udara di barat laut wilayah Hama selain beberapa penempatan turut musnah.

Selain bedilan roket dan bom, musim sejuk melanda memburukkan keadaan krisis kemanusiaan di situ.

“Keluarga mangsa melarikan diri daripada hujan dan suhu waktu malam hampir mencecah paras beku,” kata kenyataan itu.

PBB turut menegaskan lebih daripada 100,000 mangsa yang melarikan diri minggu lalu, kini berlindung di kem-kem pelarian, bangunan separa atau tidak siap, di dalam khemah, di bawah pokok atau kawasan terbuka.

Kebanyakan mangsa baru terjejas itu tidak termasuk 400,000 wanita, kanak-kanak dan lelaki yang terjejas akibat keganasan berlaku antara hujung April hingga awal bulan ini.

UNOCHA juga merekodkan lebih 1,330 orang awam terbunuh dalam tempoh yang sama.

PBB menggesa semua pihak, termasuk mereka yang mempunyai kuasa, untuk memastikan orang awam dilindungi, menjamin kebebasan bergerak dan memberikan laluan kepada pihak kemanusiaan menyediakan bantuan kepada kelompok memerlukan.

Syria dibelenggu perang saudara yang dahsyat sejak 2011 apabila rejim Bashar al-Assad menangani protes pro-demokrasi.

Sejak itu, ratusan ribuan orang terbunuh dengan lebih 10 juta yang lain hilang tempat tinggal, demikian menurut pegawai PBB.

Zon de-ekslasi diwujudkan di Idlib oleh Turki dan Rusia pada akhir 2018. Bagaimanapun, rejim Syria dan Rusia seringkali mencabuli larangan keganasan di zon terbabit dengan melancarkan serangan udara.

Ia kini menjadi rumah kepada empat juta orang awam, termasuk ratusan ribuan yang hilang tempat tinggal sejak beberapa tahun lalu akibat tindakan pasukan rejim di wilayah terjejas perang itu. – Terjemahan AlHijrah Online

Leave a Reply