LEBIH 300,000 OKU, IBU TUNGGAL TERIMA BANTUAN ‘ONE-OFF’ RM300

KUALA LUMPUR: Lebih 300,000 orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal disenarai di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menerima bantuan ‘one-off’ RM300 bagi mengurangkan beban mereka ketika negara berdepan wabak COVID-19.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, bayaran bantuan khas itu akan disalurkan sebelum Hari Raya Aidiladha.

“Kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan dan kesejahteraan kumpulan sasar seperti OKU dan ibu tunggal,” katanya ketika mengumumkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung di stesen radio dan televisyen hari ini.

Muhyiddin berkata sebanyak RM75 juta diperuntuk bagi membantu ekonomi gig iaitu pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas dilakukan individu yang dipacu teknologi digital.

Perdana Menteri berkata, geran RM50 juta dalam bentuk dana padanan pula akan diperuntukkan untuk platform ekonomi gig buat pekerja yang mencarum di bawah Skim Bencana Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Skim i-Saraan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dalam usaha menggalakkan bidang freelancing, MDEC (Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia) akan diberi peruntukan RM25 juta bagi program Global Online Workforce (GLOW),” kata Muhyiddin.

Sementara itu dalam mendorong perusahaan mikro dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) supaya menggunakan khidmat digital, Muhyiddin berkata, kerajaan dan pihak swasta akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan RM140 juta.

“Peruntukan akan diguna untuk sesi latihan, subsidi dan bantuan penjualan diterajui MDEC bersama platform e-dagang terpilih,” kata Perdana Menteri. — AlHijrah Online

Leave a Reply