Obes kerana sistem kerja

KUALA LUMPUR – Cukai ke atas produk minuman bergula diharap dapat mengubah tabiat pengguna untuk memilih minuman kurang manis sekali gus mengurangkan beban kerajaan bagi merawat masalah obesiti dan penyakit berkaitan, kata Kementerian Kewangan ketika menjawab soalan lazim mengenai pengenaan cukai berkenaan, hari ini.

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga pertama bagi masalah berat badan dan obesiti dan kerajaan terpaksa membelanjakan RM4 bilion hingga RM8 bilion untuk merawat masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit dari 2010 sehingga 2016, katanya lagi.

Hasil tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2015 menunjukkan prevalen masalah berat badan dalam kalangan orang dewasa berusia 18 tahun dan ke atas di Malaysia adalah 47.7% dengan 30% berlebihan berat badan manakala 17.7% adalah obes.

Jumlah penghidap penyakit kencing manis pula semakin meningkat kepada 17.5% atau 3.5 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, berbanding 11.6% pada 2006.

Namun benarkah tindakan mengenakan cukai ini mampu mengurangkan masalah obesiti? Ini kerana punca obesiti itu sendiri adalah pelbagai. Selain berkait dengan kualiti makanan yang tidak baik seperti tinggi lemak dan kalori, obesiti juga berpunca dari gaya hidup yang tidak aktif, tidak cukup tidur, genetik dan proses penuaan.

Walaupun Kementerian berkata cukai ke atas minuman bergula berjaya menunjukkan penurunan permintaan dan pengambilan minuman manis bergula, sebagaimana yang dibuktikan oleh 38 buah negara yang telah melaksanakan cukai ini, tetapi suatu langkah yang lebih holistik sewajarnya didahulukan untuk menangani masalah ini.

Dalam keadaan negara yang menghadapi masalah ekonomi, rakyat terpaksa bersaing untuk hidup dan kekal relevan dengan pekerjaan mereka. Dalam persaingan ini, mereka terpaksa melupakan kesihatan mereka, di mana terdapat pekerja yang terpaksa bekerja lebih masa, tidak menghiraukan makan minum dan kesihatan diri.

Terperuk berbelas jam di ruang kerja, makan di meja daripada menu yang dipesan secara atas talian, dan kemudiannya pulang ke rumah hanya untuk tidur, sempatkah mereka menjalani hidup aktif? Itu tidak dikira pekerja yang terpaksa bekerja secara shif. Tidur pada waktu siang tidak sama kualitinya dengan tidur pada waktu malam yang bersifat fitrah kejadian.

Apabila sistem kehidupan sejahtera dicerobohi oleh sistem kerja yang tidak mesra berlaku, maka masalah obesiti ini tidak akan dapat dibanteras dengan hanya mengenakan cukai. Lebih tepat, cukai ini hanya bermanfaat untuk menambah pendapatan kerajaan.

Leave a Reply