PKP 2.0: JAWI SEDIA RUANG KHAS SOLAT UNTUK MUSAFIR, PEMANDU E-HAILING, PENGHANTAR MAKANAN DAN SEUMPAMANYA

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengeluarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) terkini berkaitan pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut ciapan yang dimuat naik di akaun Twitter @myJawiKL , antara SOP yang ditekankan dalam usaha mengimarahkan masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan adalah laungan azan solat fardhu lima waktu diteruskan seperti biasa serta penyediaan ruang khas solat.

“Penyediaan ruangan khas solat itu bagi musafir, pemandu teksi, pemandu e-hailing, penghantar makanan dan seumpamanya,” jelas JAWI dalam bebenang di akaun Twitter rasminya.

Selain itu JAWI turut menubuhkan Jawatankuasa Pelaksanaan dan Pemantauan SOP di peringkat masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan bagi memastikan pematuhan arahan yang ditetapkan.

Tambahnya, aktiviti pengimarahan akan ditangguhkan tetapi kuliah, ceramah dan seumpamanya boleh dilaksanakan secara dalam talian yang dibuat di kediaman penceramah dan dikongsikan kepada ahli kariah.

Terdahulu, JAWI mengumumkan kebenaran solat Jumaat dengan bilangan maksimum 30 jemaah di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan sepanjang PKP dilaksanakan.

Kebenaran itu menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah melalui warkah Istana Negara, semalam.–AlHijrah Online

Leave a Reply