SOLAT JUMAAT, SOLAT BERJEMAAH BERSYARAT DIBENARKAN DI ZON HIJAU DI WILAYAH PERSEKUTUAN BERMULA ESOK

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Solat berjemaah, termasuk solat Jumaat, di masjid dan surau terpilih di kawasan zon hijau di Wilayah Persekutuan dibenarkan bermula esok dengan pematuhan bersyarat bagi mengekang penularan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata antara ketetapan diputuskan bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah tidak melebihi 30 orang dan kawalan pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipatuhi.

Beliau berkata keputusan itu selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah ke atas cadangan SOP Pelaksanaan Solat Jumaat dan Solat Berjemaah Bersyarat yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang bersidang pada 8 Mei lalu.

“Alhamdulillah, Seri Paduka Baginda telah menzahirkan titah perkenan bagi cadangan tersebut. Bagi Wilayah Persekutuan, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 14 Mei 2020 iaitu hari ini bersamaan 21 Ramadhan 1441H telah memutuskan Mesyuarat bersetuju menerima titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya semua masjid, Surau Jumaat dan surau- surau terpilih boleh mendirikan solat Jumaat, solat berjemaah setiap waktu termasuk solat sunat tarawih dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.

“Lain-lain solat secara berjemaah di masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih dalam tempoh PKPB boleh dilaksanakan secara berperingkat bermula selepas solat Jumaat pada 15 Mei 2020M berdasarkan cadangan Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-5,” kata Zulkifli dalam Sidang Media Khas yang disiarkan stesen televisyen tempatan hari ini.

Kerajaan tidak membenarkan sebarang aktiviti keagamaan diadakan di masjid dan surau selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan COVID-19 sebelum PKP Bersyarat (PKPB) dilaksanakan bermula 4 Mei hingga 9 Jun ekoran penurunan kes jangkitan secara signifikan.

Zulkifli berkata Mesyuarat Khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan hari ini juga memutuskan bilangan jemaah bagi solat Jumaat dan lain-lain solat berjemaah adalah tidak kurang dari tiga orang, tidak termasuk imam dan tidak lebih dari 30 orang.

Katanya, keputusan itu juga selaras dengan keputusan MKN dan pertemuan beliau selaku menteri bertanggungjawab dalam hal ehwal agama dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 12 Mei lalu.

“Pihak masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih di zon hijau perlu memastikan adanya kawalan daripada pihak berkuasa seperti polis dan pihak berkuasa agama negeri untuk mengawal keadaan. Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Negara berhubung hal ini beliau bersetuju untuk memberi kerjasama penuh.

“AJK masjid, Surau Jumaat dan surau-surau terpilih (zon hijau) perlu memastikan SOP MKN dan KKM dipatuhi sepenuhnya,” katanya menjelaskan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan mengeluarkan garis panduan terperinci berhubung perkara itu.

Mengenai pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah di negeri lain, Zulkifli berkata perkata itu terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri yang akan memutuskannya kelak.

“Berhubungan dengan bilangan jemaah, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Zulkifli juga mengingatkan umat Islam di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri yang telah memperoleh kebenaran pelaksanaan Solat Jumaat, solat berjemaah dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri untuk menjaga penjarakan sosial di dalam dan luar masjid.

“Jarak antara ahli jemaah adalah sejauh satu meter antara satu sama lain dan jemaah wajib memakai pelitup muka; cara masuk dan keluar masjid mesti mengikut giliran dengan beratur serta menjaga penjarakan yang terkawal; jemaah yang mengidap penyakit kronik, warga emas yang berumur 70 tahun ke atas dan kanak-kanak di bawah umur 15 tahun tidak dibenarkan hadir berjemaah di masjid.

“Semua ahli Jemaah yang hadir hendaklah mengambil wuduk di rumah dan membawa sejadah masing-masing sebelum hadir ke masjid; jemaah dipastikan terus bersurai dalam keadaan tenang dan tiada perkumpulan dibenarkan selesai solat Jumaat samada di dalam atau di luar masjid,” katanya.

Zulkifli menegaskan pihak berkuasa agama negeri-negeri mengambil serius beberapa garis panduan khusus, termasuk mengadakan kaunter di pintu masuk yang dihadkan bilangannya bagi memeriksa suhu badan, sanitasi tangan serta rekod kehadiran jemaah selain melakukan sanitasi ruang solat dan kawasan sekitarnya termasuk tandas dan ruang wudhu sebelum dan selepas solat.

“Penggunaan tandas perlu dihadkan mengikut jumlah bilik tandas yang ada pada satu-satu masa. Ahli jemaah wajib membawa kad pengenalan diri. Jika gagal, ahli jemaah harus diarah pulang; kehadiran direkodkan di dalam buku kehadiran dan pintu masjid dibuka hanya sejam sebelum azan dan ditutup sejurus selepas selesai doa dibacakan,” katanya.

Menekankan supaya semua pihak terus berhati-hati, Zulkifli menyeru umat Islam sama-sama berdoa supaya wabak COVID-19 berjaya diperangi dan semua pihak akan kembali beribadah seperti biasa dalam norma baharu. – AlHijrah Online/ Syed Azwan Syed Ali

Leave a Reply