SOP SOLAT JUMAAT DIBAWA KE J/K MUZAKARAH MKI HARI INI, NEGERI PUTUSKAN PELAKSANAAN KELAK

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Garis Panduan Solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibentangkan di Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata garis panduan itu disediakan bagi penelitian Ashabus Samahah Mufti-Mufti seluruh Malaysia selaku pihak berkuasa agama negeri dan Ahli-Ahli Dilantik Majlis Raja-Raja sebagai satu panduan bersama sebelum dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri.

Katanya, sebagaimana amalan kebiasaan, resolusi muzakarah itu akan dibawa kepada Majlis Raja-Raja sebelum dipertimbangkan dan diputuskan pihak berkuasa agama negeri.

“Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada di bawah ruang lingkup kuasa dan bidang kuasa negeri di bawah naungan Raja-Raja bagi negeri-negeri. Hal ini jelas disebut di bawah Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya amat menjunjung hikmah dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dalam mempertimbangkan dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di negeri-negeri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dalam mempertimbang dan memutuskan sebarang urusan berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri tidak beraja.

“Buat masa ini, saya menyeru seluruh umat Islam mematuhi segala peraturan berkaitan penangguhan aktiviti keagamaan di masjid dan surau dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri dan sentiasa memanjatkan doa agar wabak ini beransur hilang.

“Yakinlah bahawa akan tiba saatnya masjid dan surau kembali meriah dengan pelbagai aktiviti keagamaan dan diimarahkan dengan sebaiknya,” kata Zulkifli dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, Zulkifli mengadakan perbincangan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang meneliti garis panduan itu sebelum ia dibentangkan di mesyuarat jawatankuasa muzakarah MKI.

Aktiviti di rumah ibadat termasuk di masjid dan surau dihentikan sementara selepas kerajaan menguatkuasakan PKP sejak 18 Mac hingga 12 Mei depan bagi membendung penularan COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply