TV ALHIJRAH SOLIDARITI JURUFOTO PALESTIN BUTA MATA KIRI

KUALA LUMPUR: AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) menjadi media Malaysia pertama yang menterjemahkan solidaritinya dengan jurufoto Palestin, Muath Armaneh yang kehilangan mata kiri akibat ditembak rejim zionis Israel, Jumaat lalu.

Solidariti yang dimulakan masyarakat dunia itu bermula dengan Berita TV AlHijrah jam 8 malam tadi apabila pembaca berita, Adi Akmal Sehrom, membaca segmen akhir berita sambil membalut mata kirinya.

Ianya simbolik solidariti dengan jurufoto dari Tebing Barat itu yang ditembak rejim zionis pada Jumaat lalu ketika membuat liputan keganasan di Hebron.

Sebelum ini, klip video jurugambar sambilan yang berusia 35 tahun, berdarah mata kirinya dipapah ke kawasan selamat sambil memegang kamera, viral di seluruh dunia.

Malah ketika ditemubual AFP, Muath berkata beliau berdiri jauh dari kawasan protes dan memakai jaket tertera perkataan “PRESS” dan helmet tetapi tetap menjadi sasaran rejim.

“TV AlHijrah (TVAH) turut merasakan tempiasnya apabila petugas media dilakukan sedemikian rupa.

“Maka, bermula malam ini, kami bersolidariti bersama Muath dan seluruh rakyat Palestin,” kata Ketua Jabatan Berita dan Hal Ehwal Semasa (NCA) TVAH, Ardi Herman Mardzi.

Mendapat inspirasi dari rakan sejawat di Gaza yang membaca berita dengan mata kiri berbalut sebagai solidariti jurufoto Palestin, Ketua Pegawai Eksekutif TVAH, Namanzee Harris, meminta Ardi melakukan tindakan sama.

Bukan hanya di Berita AlHijrah, pengacara bagi program Analisis yang diterajui Finaz Yunus turut menyatakan solidariti sama, diikuti program Assalamualaikum pagi esok.

Isu perjuangan Palestin yang menuntut hak dan kebebasan mereka dari penjajahan Israel antara isu utama diketengahkan TVAH termasuk di slot Glob AlHijrah yang bersiaran setiap Ahad jam 8.45 malam. — AlHijrah Online/Syed Azwan Syed Ali

One comment

Leave a Reply to Norashalaily Cancel reply