WANITA TIDAK BOLEH JADI IMAM KEPADA LELAKI – ZULKIFLI

Last Updated on

KUALA LUMPUR: Wanita tidak boleh menjadi imam kepada lelaki, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menteri hal ehwal agama itu berkata ini pandangan yang jelas oleh ulama sejak sekian lama.

Katanya, walaupun suami (lelaki) adalah seorang mualaf (baru masuk Islam), isterinya tetap tidak boleh menjadi imam kepada suaminya.

“Suami kena berusaha belajar menjadi imam dan isteri pula kena bagi sokongan,” katanya kepada AlHijrah Online di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai ciapan seorang wanita Islam yang tular beberapa hari ini kerana bertegas dengan pandangan bahawa beliau boleh menjadi imam kepada suaminya yang baru masuk Islam (mualaf).

Zulkifli berkata sekiranya isteri mempunyai anak lelaki maka anak lelakinya boleh menjadi imam kepada suami mualafnya.

Jika tidak, maka, Zulkifli berkata wanita berkenaan hanya boleh menjadi makmum dalam solat berjemaah bersama suaminya.

EDISI 5 WORLD #QURANHOUR RABU DEPAN, MISI SURAH AR-RAHMAN

Terdahulu, Zulkifli melancarkan Edisi Kelima World #QuranHour yang akan berlangsung sentak seluruh dunia pada 20 Ramadan 1441H bersamaan  13 Mei 2020 dengan membawa misi Surah Ar-Rahman (55:1-78) sebagai solusi mengembalikan keharmonian global “Reboot Global Harmony”.

Turut hadir di majlis pelancaran Edisi Kelima World #QuranHour di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah ialah Ketua Pegawai Eksekutif AlHijrah Media Corporation, Namanzee Harris dan Ahli Lembaga Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Ahmad Yani Abd Manaf.

Melalui program itu, semua pihak terlibat di seluruh dunia akan menghentikan aktiviti lain  dan membaca al-Quran serta memahaminya melalui tadabbur selama sejam dari jam 12 tengah hari hingga 1 petang pada hari berkenaan.

Zulkifli berkata program yang mendekatkan umat Islam dengan Al-Quran itu perlu dikembangkan penganjurannya.

“Satu jam yang diperuntukkan ini bukan hanya bulan Ramadan semata-mata, tetapi waktu sesuai untuk mendekatkan masyarakat, umat Islam dengan al-Quran,” kata Zulkifli menyifatkan program itu mendekatkan umat Islam untuk membaca, memahami dan menghayati isi kandungan al-Quran.

Beliau juga menyifatkan program itu sejajar dengan program keagamaan yang ditayangkan di TV AlHijrah seperti #Qurantime dan “sepotong ayat sehari” ketika Ramadan dan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung COVID-19.

World #QuranHour bermula sejak 2015. Sehingga tahun lalu, ia diadakan di lebih 3,000 lokasi berdaftar di seluruh Malaysia dan 300 lokasi berdaftar di 76 negara  dengan capaian 1.46 bilion di media sosial.

World #QuranHour, dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Ar Rahman Quranic Learning Centre dari Indonesia itu, akan disiarkan di TV AlHijrah, RTM, Bernama TV, Astro Oasis, Sinar Harian dan Ideaktiv, Rabu depan. – AlHijrah Online

Leave a Reply